realme Malaysia telah mengesahkan kehadiran telefon pintar baharunya P3 Ultra pada minggu hadapan 16 Jun 2025 di pasaran Malaysia. Telefon pintar peringkat premium menengah ini pertama kali diperkenalkan di pasaran India pada Mac lalu.
Menampilkan rekaan Glowing Lunar yang diinspirasikan oleh permukaan bulan pada bahagian belakangnya, realme P3 Ultra hanya berketebalan 7.38mm dengan penarafan kerintangan debu dan air IP66, IP68 dan IP69.
Di hadapannya, ia mempunyai paparan kuad-melengkung AMOLED 6.83-inci dengan resolusi FHD+, kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 1,500 nits, perlindungan Gorilla Glass 7i dan penderia cap jari terbina dalam paparan. Telefon pintar ini juga didatangkan dengan pembesar suara stereo yang mempunyai sokongan Hi-Res Audio.
Ia dikuasakan oleh pemprosesan MediaTek Dimensity 8350 Ultra dan berdasarkan pelancarannya di India baru-baru ini, ia dilengkapkan dengan RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 256GB. Konfigurasi ini mungkin berbeza dengan apa yang akan ditawarkan di pasaran tempatan kelak.
Lain-lain dari itu, realme P3 Ultra didatangkan dengan bateri 6,000mAh, sistem penyejukan VC yang luas 6050mm², serta antaramuka realme UI 6.0 yang berasaskan Android 15.
Sistem kamera P3 Ultra ‘diketuai’ oleh sensor utama Sony IMX896 50MP dengan penstabil imej optikal dan rakaman 4K 60fps, bersama-sama kamera ultra-lebar 8MP. Dalam pada masa yang sama, pada sebelah hadapan disediakan kamera 16MP.
Sebaik sahaja dilancarkan pada minggu hadapan, realme P3 Ultra akan dijual secara eksklusif menerusi platform dalam talian rasminya di Shopee, Lazada, dan TikTok. realme setakat ini masih belum mengesahkan harga, pilihan warna dan konfigurasi telefon pintar ini pasaran Malaysia.