Penggunaan kad debit dan kredit sebagai kaedah pembayaran perkhidmatan tren Rapid KL telah pun menjalani pengujian sejak beberapa tahun. Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Encik Anthony Loke telah menyatakan kerja penambahan infrastruktur sistem pembayaran terbuka tersebut akan mula dilaksanakan pada Mac 2024.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Parlimen pada Khamis lalu dan memaklumkan 50% pintu keluar masuk setiap stesen mampu menyokong pembayaran tersebut menjelang Februari 2025. Penambahan sistem baharu tersebut di kesemua pintu keluar masuk stesen dijangka selesai menjelang Ogos 2025.

Sistem pembayaran terbuka ini akan menerima pembayaran melalui kad debit dan kredit selain menerima kaedah sedia ada melalui kad fizikal Touch ‘n Go dan token. Menteri berkenaan juga memaklumkan pembayaran melalui kod QR untuk fasa pelaksanaan berikutnya mungkin akan ditambah jika diperlukan. Beliau juga menyatakan Prasarana telah pun memulakan usaha menambah sistem tersebut sejak awal tahun ini.

Untuk rangkaian komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula, penambahbaikan sistem tiket di 57 stesen KTM di Lembah Klang hampir selesai. Buat masa ini, pintu keluar masuk baharu yang sedia ada hanya menyokong Touch ‘n Go dan kod QR menggunakan KTM Wallet. Sistem berkenaan dijangka akan mula menawarkan sokongan pembayaran menggunakan kad debit dan kredit bermula pertengahan November 2023.

Tinggalkan komentar