Selepas beberapa kali ditangguhkan, Perjanjian Langgan Saham untuk memegang ekuiti di dalam Digital Nasional Berhad (DNB) kini akhirnya telah ditandatangani oleh lima pengendali rangkaian mudah alih Malaysia, menurut laporan dari Bernama.
Lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) berkenaan termasuklah CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia, dan YTL Power Interneational Berhad. The Star melaporkan setiap MNO berkenaan akan menyuntik dana kira-kira RM233 juta ke dalam DNB.
Selain itu, kesemua MNO berkenaan akan diperuntukkan dengan sejumlah 70% dari ekuiti atau bersamaan 14% apabila dibahagikan mengikut bahagian masing-masing. Baki 30% selebihnya dipegang oleh kerajaan menerusi Kementerian Kewangan yang masih lagi memegang saham di dalam DNB.
Sebaik sahaja liputan di kawasan berpenduduk mencecah 80%, pihak kerajaan akan mengumumkan pembentukan entiti komersil-sahaja baharu yang dirujuk sebagai “Entiti B” yang akan membangunkan rangkaian borong 5G kedua. Setakat hujung Oktober lalu, kadar liputan di kawasan berpenduduk berada pada 73%.