Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B) telah memutuskan untuk melaksanakan kaedah senarai menunggu di seluruh fasiliti kesihatan swasta yang terlibat di dalam pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 di seluruh Malaysia.

Menurut kenyataan media yang telah dikeluarkan, senarai menunggu ini membolehkan individu yang layak menerima dos penggalak mendapatkannya tanpa perlu menunggu tarikh temujanji menerusi MySejahtera.

Sebaik sahaja nama individu berkenaan telah didaftarkan ke dalam senarai menunggu, mereka boleh dihubungi terus oleh pengamal perubatan swasta berkenaan sekiranya terdapat pembatalan janji temu atau individu yang dijadualkan tidak hadir.

Selain dibuka kepada individu-individu yang layak, senarai menunggu ini juga ditawarkan kepada individu yang masih lagi belum menerima vaksin termasuk remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun yang masih belum lengkap dos.

Selain itu, individu yang terlepas tarikh janji temu atau ingin mendapatkan tarikh dos penggalak lebih awal dari tarikh yang ditetapkan oleh MySejahtera juga dibenarkan untuk mendaftar ke dalam senarai menunggu tersebut.

Individu yang diberikan keutamaan

Walaubagaimanapun, keutamaan tetap diberikan kepada warga barisan hadapan yang merangkumi sektor kesihatan, keselamatan dan pertahanan. Begitu juga kepada individu berusia 18 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi dan kakitangan pusat-pusat jagaan.

Keutamaan ini juga diperluaskan kepada individu-individu berusia 40 tahun dan ke atas, wanita mengandung dan juga individu yang ingin pergi ke luar negara. Anda boleh mendaftarkan nama anda di dalam senarai menunggu ini di mana-mana fasiliti kesihatan swasta yang menyertai dari 22 November ini.

CITF-B juga menyatakan pendaftaran boleh dibuat menerusi telefon dan juga emel. Anda boleh membuat semakan fasiliti-fasiliti yang terlibat menerusi laman web ProtechHealth pada tarikh tersebut.

Buat masa ini, dos penggalak ini hanya ditawarkan bagi individu yang menerima vaksin dari Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini telah mengesahkan dos penggalak ini juga diberikan kepada individu yang menerima vaksin AstraZeneca. Perincian mengenainya setakat ini masih lagi belum diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tinggalkan komentar