Utama Perbankan Pencarum KWSP berusia bawah 55 tahun akan mempunyai Akaun 3 (Akaun Fleksibel)...

Pencarum KWSP berusia bawah 55 tahun akan mempunyai Akaun 3 (Akaun Fleksibel) bermula 11 Mei ini

258
0

Selepas ura-ura mengenainya tersebar sejak dari bulan lepas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara rasminya telah mengumumkan penstrukturan semula akaun-akaun pencarumnya. Dijadualkan berkuatkuasa pada 11 Mei 2024, penstrukturan semula ini turut melibatkan pelaksanaan Akaun 3 meliputi kesemua pencarum yang berusia di bawah 55 tahun.

Pelaksanaannya kelak akan menjadikan kesemua caruman akan dibahagikan kepada tiga bahagian. KWSP juga memberikan nama-nama baharu bagi akaun berkenaan dan tidak lagi sekadar Akaun 1 dan Akaun 2 seperti yang sedia ada. Berikut disenaraikan nama-nama baharu akaun tersebut dengan peratusan pecahan caruman masing-masing.

  • Akaun Persaraan (Akaun 1), 75% – mengumpulkan simpanan yang akan digunakan sebagai pendapatan semasa persaraan
  • Akaun Sejahtera (Akaun 2), 15% – memenuhi keperluan kitaran hidup pra-persaraan bagi jangka sederhana yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan
  • Akaun Fleksibel (Akaun 3), 10% – akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek

Secara amnya, simpanan di dalam akaun KWSP anda sedia ada masih kekal seperti biasa. Ini bermakna, simpanan di dalam Akaun 1 dan Akaun akan masih lagi sama dengan Akaun 3 yang baharu akan bermula dari RM 0.

Menurut laporan oleh Bernama, kadar dividen masih lagi kekal sama pada ketiga-tiga akaun berkenaan sungguhpun terdapat kemungkinan akan berlaku perubahan di masa hadapan, seperti yang dinyatakan oleh pihak KWSP.

Kebenaran Pengeluaran KWSP sekali dari Akaun 2 ke Akaun 3

Pelaksanaan Akaun 3 juga menyediakan peluang kepada pencarum KWSP untuk membuat pengeluaran sebahagian simpanan masing-masing. Ini kerana KWSP membenarkan pengeluaran sekali dari Akaun 2 ke Akaun 3 bermula dari 11 Mei sehingga 31 Ogos 2024.

Bagaimanapun, anda tidak boleh membuat pengeluaran KWSP mengikut jumlah sesuka hati anda. Jumlah pengeluaran bergantung pada jumlah simpanan semasa yang ada di dalam Akaun 2.

Jika baki Akaun 2 berjumlah lebih daripada RM3,000, 1/3 daripada baki akan dipindahkan kepada Akaun 3 dan sebahagian daripada 1/6 baki berkenaan akan dipindahkan kepada Akaun 1. Jika baki Akaun 3 kurang daripada RM3,000, terdapat sedikit perbezaan iaitu:

  • Baki Akaun 2 berjumlah kurang dari RM1,000 – kesemua simpanan akan pergi ke Akaun 3.
  • Baki Akaun 2 di antara RM1,000 sehingga RM3,000 pula, sejumlah RM1,000 akan dipindahkan ke Akaun 3 dengan selebihnya akan kekal di dalam Akaun 2.

Anda boleh membuat pemindahan sekali menerusi aplikasi i-Akaun KWSP yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store, Google Play, dan Huawei AppGallery bermula dari 11 Mei. Selain itu, anda juga boleh melakukannya menerusi Terminal Layan Diri di kesemua cawangan KWSP di seluruh negara.

Cara membuat pengeluaran KWSP dari Akaun 3

Anda boleh memohon pengeluaran wang dari Akaun 3 dengan menggunakan aplikasi i-Akaun KWSP atau mengunjungi cawangan-cawangan KWSP. Wang pengeluaran tersebut kemudian akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank anda dengan pengeluaran minimum RM50.

Pindah dari Akaun 3 ke Akaun 2 dan / atau Akaun 1

Anda juga boleh memindahkan simpanan dari Akaun 3 ke dalam Akaun 2 atau/dan Akaun 1. Pemindahan ini boleh dilakukan hanya dengan cara hadir sendiri ke cawangan KWSP berhampiran untuk menghantar borang permohonan pemindahan.

Bagaimanapun pemindahan ini tidak boleh dilakukan dari Akaun 2 dan Akaun 1 ke dalam Akaun 3. Secara ringkasnya, pemindahan tersebut hanyalah sehala sahaja.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.