Kenaikan nilai matawang kripto Bitcoin dan Ethereum baru-baru ini telah mencetuskan minat baharu di kalangan komuniti perlombongan kripto. Hal ini dapat dilihat apabila seorang pelombong kripto telah menunjukkan 100 buah kad NVIDIA GeForce RTX 3080 yang digunakan sebagai perkakasan melombong kripto.
Kini, di dalam pasaran kad-kad grafik yang semakin berkurangan, sesetengah pelombong kripto dari China telah menggunakan laptop berkuasa grafik NVIDIA GeForce siri RTX 30.
Perkara ini telah dikongsikan oleh pengguna media sosial China dengan menunjukkan bagaimana ketamakan para pelombong kripto menggunakan segala apa yang ada.
Chinese miners are crazy 🤣🤣 https://t.co/yOA1wC5U3a pic.twitter.com/EvQccY6DHG
— I_Leak_VN (@I_Leak_VN) February 6, 2021
Menerusi perkongsian di platform media sosial berbahasa China, BiliBili, pengguna yang menggunakan nama “Fish Pond F2pool” menunjukkan sebanyak mana yang mampu diraih oleh sebuah laptop tersebut. Beliau menunjukkan, untuk tempoh dua jam, sebuah laptop NVIDIA yang digunakan mampu meraih 0.00053 ETH, bersamaan RM3.50.
Melombong kripto
Perlombongan kripto menggunakan kad grafik merupakan kaedah yang paling popular digunakan. Ia memerlukan set perkakasan yang digabungkan melakukan siri pengiraan kompleks yang dikenali juga sebagai blok. Pendapatan yang diraih oleh pelombong kripto bergantung pada seberapa pantas sistem yang digunakan menyelesaikan pengiraan. Atau, dengan kata lain, lebih banyak kad grafik dipasang, lebih pantas sistem menyelesaikan blok dan seterusnya menjana kriptowang.
Kaedah yang digunakan oleh pelombong ini berbeza dengan perdagangan mata wang kerana ianya tidak perlu memasukkan nilai tunai untuk didagangkan. Cuma yang diperlukan adalah modal besar untuk membeli set-set perkakasan perlombongan kripto berkenaan yang pastinya boleh mencecah ratusan ribu ringgit.
Apa yang lebih membimbangkan di saat pandemik ini, tindakan segelintir pelombong kripto yang tamak ini boleh menyebabkan kenaikan harga peranti di pasaran. Peranti-peranti yang digunakan sepatutnya boleh digunakan oleh pelajar-pelajar yang memerlukannya untuk pembelajaran dalam talian.