Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penipuan SMS baharu. Penipuan tersebut mendakwa kononnya mangsa dapat menebus kredit Touch ‘n Go eWallet bernilai RM500 jika menyokong parti Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mangsa kemudian akan diminta untuk membuat pengesahan identiti menerusi satu pautan palsu yang bukan dari Touch ‘n Go sebenar.
Menurut PDRM, pautan palsu berkenaan tertera touchngo-emy.top yang sememangnya bukan dari domain rasmi Touch ‘n Go. Oleh yang demikian, orang ramai diminta supaya tidak memasukkan apa-apa maklumat di dalam pautan tersebut kerana ia mempunyai hubung kait dengan kegiatan sindiket penipuan.
“Pautan yang betul tidak akan ada emy.top itu, kalau ada emy.top ini sudah pasti ia adalah sindiket penipuan dalam talian,” ujar Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai ketika ditanya oleh pemberita dari Bernama.
Baru-baru ini tular seorang pengguna Touch ‘n Go yang kerugian hampir RM2,000 selepas menekan pautan palsu dari SMS berkenaan.