KUALA LUMPUR, 27 Januari 2026 — Papa Zola The Movie terus mencatat pencapaian memberangsangkan di pawagam Malaysia dan rantau Asia Tenggara, apabila jumlah penonton serantau kini menghampiri 4 juta penonton, hasil tayangan serentak di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia, sekaligus mengukuhkan kedudukan filem animasi tempatan ini sebagai antara filem paling berjaya dari Malaysia.
Di Malaysia, Papa Zola The Movie terus mengukuhkan kedudukan apabila menduduki tempat #1 sepanjang hujung minggu lalu, meskipun kini berada dalam minggu ke-7 tayangan, hasil sokongan berterusan penonton keluarga. Filem ini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Di peringkat serantau, sambutan di Indonesia turut menunjukkan permulaan yang sangat positif apabila filem ini mencatat 200,000 admission hanya dalam tempoh empat hari tayangan, sekaligus muncul sebagai filem baharu #1 pada minggu pembukaan dan #2 keseluruhan minggu di pasaran tersebut.
Sehingga 27 Januari 2026, Papa Zola The Movie turut mencatatkan momentum yang kukuh di platform tiket digital Indonesia apabila dimasukkan ke dalam senarai tontonan (watchlist) oleh lebih 10,000 pengguna di TIX ID, selain menerima penilaian tinggi 9.7 daripada pengguna platform tersebut, mencerminkan sambutan awal dan minat penonton yang sangat positif.
Pencapaian ini menyumbang kepada kejayaan Papa Zola The Movie sebagai filem animasi Malaysia dengan jumlah admission tertinggi, serta meletakkannya sebagai filem tempatan ke-3 paling berjaya sepanjang masa, di belakang Mat Kilau dan Blood Brothers.
Sebagai menyokong tontonan keluarga dan penonton kanak-kanak, pihak pempamer di Malaysia turut memperkenalkan beberapa inisiatif khas termasuk:
- Promosi Beli 2 Percuma 2 tiket kanak-kanak di pawagam GSC yang terpilih
- Harga tiket kanak-kanak hanya RM1 pada hujung minggu, menjadikan pengalaman menonton lebih mampu milik untuk keluarga
Inisiatif ini bertepatan dengan cuti panjang di beberapa negeri minggu ini termasuk Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Putrajaya, yang dijangka terus memacu kehadiran penonton ke pawagam.
Selain prestasi pawagam, fenomena Papa Zola The Movie turut memberi impak ketara di platform digital apabila lagu tema “Batas Senja” mencatat peningkatan penggunaan di TikTok daripada sekitar 800,000 video sebelum tayangan filem, kepada lebih 2.4 juta video selepas tayangan Papa Zola The Movie, mencerminkan keterlibatan penonton yang semakin meluas.
Selepas kejayaan tayangan serentak di rantau Asia Tenggara, Papa Zola The Movie dijadualkan untuk meneruskan pengembangan antarabangsa dengan tayangan akan datang di Vietnam, selain perancangan pelepasan di beberapa pasaran antarabangsa lain sepanjang tahun 2026













