Samsung telah melancarkan Galaxy A54 5G bersama-sama Galaxy A53 5G di pasaran Malaysia baru-baru ini dengan pra-tempahannya telah pun dibuka. Telefon pintar ini hadir dengan skrin Super AMOLED FHD+, kadar penyegaran semula 120Hz, kerintangan air dan debu IP67, dan bateri 5,000mAh.
Pemprosesannya pula untuk kali ini menggunakan Samsung Exynos 1380, lebih terkini berbanding Exynos 1280 yang digunakan pada Galaxy A53 5G sebelum ini. Selain itu, telefon pintar model kali ini juga mempunyai kamera 50MP yang serba baharu.
Apa pun, jom kita lihat seimbas lalu Galaxy A54 5G.
Kandungan di dalam kotak
- Samsung Galaxy A54 5G 8GB RAM + 256GB berwarna Awesome Violet
- Kabel USB Type-C to C
- Pin penolak SIM
- Lembaran kecil Panduan Mula Segera
Galaxy A54 5G mempunyai skrin Super AMOLED Infinity-O beresolusi Full HD+ dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan bersaiz 6.4-inci. Menjadikannya kecil sedikit jika dibandingkan dengan model terdahulu. Bahagian sisinya pula memperlihatkan kerangka plastiknya, walaupun sekali pandang kelihatan seperti diperbuat daripada logam aluminium.
Tahap kecerahannya lebih tinggi 25% dari sebelumnya, sehingga 1000 nits. Justeru menjadikan paparan skrinnya agak terang untuk digunakan apabila berada di luar di tempat yang terbuka. Malah sokongan HDR juga disediakan untuk telefon pintar ini dan anda boleh menggunakannya untuk menonton kandungan tertentu di dalam Youtube.
Galaxy A54 5G dikuasakan oleh pemprosesan 5nm terkini Exynos 1380 dengan RAM 8GB dan storan sehingga 256GB. Di atas kertas, pemprosesan ini dilihat setara dengan Snapdragon 778G. Namun, pengujian yang lebih terperinci termasuk untuk permainan mudah alih akan saya terangkannya di dalam artikel ulasan telefon pintar ini kelak.
Sistem operasi yang digunakannya adalah Android 13 menerusi antaramuka Samsung One UI 4. Seperti biasa, antaramuka ini telah dijanjikan sokongan kemaskini sistem operasi sebanyak empat versi dan lima tahun kemaskini keselamatan oleh Samsung.
Pada paparan sebelah hadapannya terdapat satu kamera 32MP f/2.2 yang ditempatkan pada paparan berpenebuk lubang di sebelah atas, sama seperti model sebelumnya. Sokongan pengimbas cap jari terbina dalam skrin juga masih lagi ditawarkan pada model kali ini.
Bahagian sisi kanannya seperti kebiasaan telefon pintar Samsung menempatkan butang kuasa dan kawalan suara. Bahagian bawah pula menempatkan mikrofon, port USB-C, dan corong pembesar suara. Pada sebelah atasnya pula ditempatkan dulang kad dwi-SIM.
Berbeza dengan Galaxy A53 5G yang menawarkan kuad-kamera, Galaxy A54 5G mempunyai tri-kamera dengan susunan yang menyamai dengan siri Galaxy S23 dan beberapa model telefon pintar keluaran Samsung yang lain.
Ia juga mempunyai kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 12MP, dan kamera makro 5MP. Kedua-dua kamera di hadapan dan juga di belakangnya juga ini menyokong rakaman sehingga 4K 30 fps. Bagaimanapun, untuk fungsi penstabil kamera, hanya resolusi rakaman 1080p sahaja yang menyokongnya.
Berbanding permukaan belakang yang diperbuat daripada plastik pada Galaxy A53 5G, Galaxy A54 5G mempunyai permukaan belakang yang diperbuat daripada kaca dengan kemas berglos. Selain dari warna Awesome Violet seperti unit ulasan yang kami terima ini, Galaxy A54 5G juga mempunyai pilihan warna Awesome Lime dan Awesome Graphite.
Untuk pengecasannya, telefon pintar dengan bateri berkapasiti 5,000mAh ini juga menyokong teknologi pengecasan pantas Samsung 25W.
Harga Galaxy A54 5G di Malaysia
Di Malaysia, Galaxy A54 5G bagi pilihan storan 256GB dengan RAM 8GB dijual pada harga RM1,899.
- Galaxy A54 5G; RAM 8GB, storan 256GB – RM1,899
Anda boleh membuat pra-tempahan kedua-dua model ini melalui eStore Samsung Malaysia. Bersempena pelancarannya, pelanggan yang membuat pra-tempahan berpeluang menerima Galaxy Buds Live secara percuma bagi setiap pembelian. Anda juga boleh membeli adapter-adapter terpilih pada harga diskaun 30% dari kedai dalam talian berkenaan.
Selain pra-tempahan secara dalam talian, anda juga boleh membuat pra-tempahan di Samsung Experience Store dan wakil pengedar yang sah di seluruh negara. Galaxy A54 5G dan Galaxy A34 5G dijadualkan akan dilancarkan ke pasaran bermula 7 April ini.