OnePlus 2 akhirnya kini dilancarkan secara rasmi. Telefon pintar terbaru dari OnePlus yang digelar sebagai flagship killer ini bakal hadir ke pasaran Asia Tenggara sekitar suku keempat tahun 2015.
Seperti yang dijangkakan OnePlus 2 dikuasakan oleh pemprosesan terkini Qualcomm Snapdragon 810, sokongan memori 4GB LPDDR4 RAM dan storan dalaman 64 GB. Ia merupakan telefon pintar flagship pertama yang menggunakan labuhan USB Type-C selain turut dilengkapi dengan fungsi sensor cap jari dan pek bateri berkapasiti 3,300 mAh.
Dari segi paparan, OnePlus 2 hadir dengan paparan 5.5” Full HD. Pihak OnePlus menyatakan teknologi sedia ada tidak mampu menyokong paparan 2K selain dari kuat makan bateri. Untuk itu, pihak syarikat memilih untuk menggunakan 1080p sebagai jalan selamat.
Rekabentuk luarannya saling tak tumpah iras-iras OnePlus One dengan kerangka Style Swap. Bagaimanapun, terdapat satu butang baharu pada bahagian hadapannya yang berfungsi seperti pengimbas cap jari.
OnePlus 2 memiliki kamera 13 megapiksel pada kamera belakangnya dengan fungsi Laser Auto Focus dan penstabil imej optikal. Pihak OnePlus turut menyatakan bahawa kamera pada telefon pintar ini menggunakan 1.3 micron piksel di mana ia 35% lebih besar dari kebanyakan telefon pintar di pasaran.
Ini bermakna, apabila lebih banyak cahaya yang boleh diperoleh, kamera OnePlus 2 ini mampu melakukan fokus dengan lebih pantas selain dari berupaya mengambil foto yang cantik di dalam keadaan kurang pencahayaan. Kamera hadapannya yang berkeupayaan 5 megapiksel sudah lebih dari memadai untuk anda mengambil selfie yang cantik.
Telefon pintar dwi kad-SIM ini bakal hadir ke pasaran Amerika Syarikat, Kanada, India, Kesatuan Eropah dan China pada 11 Ogos 2015 ini. Ia dijangka hadir ke pasaran Asia Tenggara pada suku ke-empat tahun 2015. Dijangkakan, OnePlus 2 akan hadir ke Malaysia pada harga RM1257.
-Sumber berita diperoleh dari Wired