NVIDIA telah melancarkan ‘Raja GPU Bajet’ baharu, RTX 3050 bersempena acara CES 2022 yang kini sedang berlangsung di Las Vegas. Pada harga, $249 (~RM1,049), GPU ini lebih murah berbanding RTX 3060 yang dijual pada $329 (~RM1,379).
GPU RTX 3050 dibina berasaskan senibina NVIDIA Ampere dan menjanjikan penawaran sokongan ‘ray-tracing’ pada harga bajet. Sokongan tersebut boleh dimainkan pada kadar 60fps sungguhpun terhad pada resolusi 1080p.
Dari segi memori grafiknya, ia didatangkan dengan memori GDDR6 8GB. Dalam pada masa yang sama, RTX 3050 turut dilengkapkan dengan teras NVIDIA Tensor Generasi Ketiga yang membolehkan sokongan untuk ‘upscaling’ DLSS berasaskan AI dilakukan.
Menurut Matt Wuebbling, Naib Presiden Pemasaran Global GeForce, 75 peratus pelanggannya masih lagi menggunakan platform GTX lama. Penambahan pilihan yang lebih mesra bajet seperti RTX 3050 ini diharapkan dapat memanfaatkan pengguna yang ingin menaik taraf dari kad grafik lama seperti GTX 1650, GTX 1050 Ti, atau GTX 1050.
Pun begitu, rata-rata pengguna berdepan dengan kesukaran mendapatkan perkakasan komputer baharu berikutan kekurangan bekalan komponen yang sedang melanda di seluruh dunia kesan dari penularan wabak pandemik. Memburukkan lagi keadaan, pelombong-pelombong kripto yang membolot perkakasan berkenaan telah menyulitkan lagi keadaan.
NVIDIA RTX 3050 dijangka akan mula dijual di pasaran bermula 27 Januari 2022.