Nubia Malaysia telah mengumumkan dua buah telefon pintar terkininya, Z60S Pro dan Z60 Ultra Leading Version akan memasuki pasaran Malaysia bermula dari hari ini. Kedua-duanya boleh didapati secara eksklusif di kedai rasmi Nubia di Lazada.
Untuk Nubia Z60S Pro, model ini dilengkapkan dengan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 bersama-sama konfigurasi RAM LPDDR4X sehingga 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 1TB. Ia juga menampilkan bateri berkapasiti 5,100mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W melalui port USB-C 3.1, antaramuka MyOS 14.5 melalui Android 14. Ketersambungan nirwayarnya pula disediakan melalui sokongan dwi-jalur WiFi, Bluetooth 5.3 dan NFC.
Telefon pintar ini juga menampilkan paparan AMOLED 6.8-inci dengan warna 1 billion, kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 1200 nits. Selain itu, ia didatangkan dengan pengimbas cap jari bawah paparan dan pembesar suara stereo. Pada bahagian belakangnya terdapat kamera yang disusun dalam bentuk bulatan pada permukaan yang boleh didapati dengan pilihan warna Black, Aqua, dan White.
Dari segi fotografinya, Z60S Pro menampilkan tri-kamera yang mengandungi kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 50MP dan kamera telefoto 8MP. Di depannya pula terdapat kamera 16MP pada bahagian berpenebuk lubangnya.
Nubia Z60 Ultra Leading Version
Seterusnya, Nubia Z60 Ultra Leading Version yang merupakan variasi dipertingkatkan dari model asalnya dengan menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3. Sama seperti Z60S Pro, model ini juga ditawarkan dengan RAM sehingga 16GB dan storan 1TB.
Selain dari itu, lain-lain spesifikasinya tidak banyak berubah dari versi yang dilancarkan di Malaysia pada April lalu. Ia mempunyai paparan AMOLED 6.8-inci dengan warna 1 billion, kadar penyegaran semula 120Hz, kecerahan puncak 1,500 nits dan pengimbas cap jari optikal bawah paparan.
Manakala Z60 Ultra Leading Version pula didatangkan dengan bateri berkapasiti 6,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W melalui port USB-C 3.1, kerintangan debu dan air IP68 dan pembesar suara stereo.
Nubia Z60S Pro berharga RM2,999 untuk konfigurasi 12GB+256GB, RM3,699 untuk 16GB+512GB, dan RM4,099 untuk 16GB+1TB. Manakala, Z60 Ultra Leading Edition pula berharga RM3,499 untuk pilihan 12GB+256GB, RM4,299 untuk pilihan 16GB+512GB, dan RM4,699 untuk 16GB+1TB.
Menurut Nubia, kedua-dua peranti ini akan ditawarkan pada harga diskaun sebagai sebahagian daripada promosi Jualan Pertama bermula dari 1 sehingga 10 Ogos 2024 selagi stok masih ada. Sepanjang tempoh ini, Z60S Pro akan dijual pada harga masing-masing RM2,199, RM2,599 dan RM2,999. Untuk Z60 Ultra Leading Version pula harganya adalah masing-masing RM2,899, RM3,499 dan RM3,899.