Diperkenalkan di peringkat global bulan lepas, HMD Global kini telah mengumumkan ketibaan Nokia G21 ke pasaran Malaysia. Telefon yang boleh dipra-tempah sekarang ini merupakan telefon peringkat pemula atas yang dikuasakan oleh pemprosesan Unisoc Tiger T606.
Sama seperti keluarannya yang terdahulu G20, G21 yang baharu ini membawakan paparan HD+ 6.5-inci. Bezanya, untuk kali ini kadar penyegaran semula adaptifnya telah ditingkatkan sehingga 90Hz dan kadar pensampelan sentuhannya pada 180Hz.
Varian yang tiba ke pasaran Malaysia ini hadir dalam konfigurasi RAM 6GB dan storan dalaman 128GB.
Dari segi keupayaan fotografinya, HMD Global masih lagi mengekalkan beberapa tetapan dari G20 sebelum ini. Antaranya kamera makro 2MP, kamera berkedalaman 2MP, dan kamera swafoto 8MP.
Cuma untuk Nokia G21 kali ini, perbezaan kameranya terletak pada kamera utama 50MP dan tiada kamera ultra lebar seperti yang terdapat pada G20 sebelum ini.
Melengkapkan spesifikasinya, Nokia G21 menyediakan bateri berkapsiti 5050mAh, sama seperti yang terdapat pada G20. Untuk kuasa pengecasannya, model telefon terbaru dari Nokia ini menyokong sehingga 18W. Terdapat sebuah pengecas 10W disediakan di dalam kotak pembungkusan Nokia G21.
Pada harga RM799, Nokia G21 boleh dipra-tempah bermula dari 3 hingga 9 Mac. Sepanjang tarikh tersebut, anda boleh mendapatkannya pada harga RM759 menerusi kedai dalam talian rasmi Nokia di Shopee. Nokia G21 akan mula menemui pengguna di pasaran bermula 10 Mac 2022.















