Utama Mobile Aplikasi Memperkenalkan Setel Lite: Cara baharu yang lebih ringkas dan ringan untuk membayar...

Memperkenalkan Setel Lite: Cara baharu yang lebih ringkas dan ringan untuk membayar petrol

575
0
Setel Lite - BM

KUALA LUMPUR, 18 April 2023 – Didorong oleh pelan jangka panjang untuk terus berinovasi demi mobiliti inklusif, Setel memperkenalkan versi ringan dikenali sebagai Setel Lite yang mempunyai saiz muat turun yang kecil, boleh digunakan pada peranti Android yang dilengkapi dengan Android 4.4 atau EMUI 3 ke atas dan mampu berfungsi dengan sambungan internet yang perlahan seperti EDGE, 2G dan 3G sekaligus memberikan pengalaman mengisi petrol yang lebih ringkas serta lancar buat pengguna.

Pengguna Setel Lite masih boleh menggunakan Dompet Setel untuk membayar petrol dari kenderaan mereka, memperoleh sehingga 3x mata ganjaran Mesra dengan pembayaran petrol  dan menyemak mata ganjaran Mesra seperti aplikasi Setel versi penuh.

Pengguna juga boleh menambah nilai Dompet Setel menggunakan wang tunai melalui e-baucar yang boleh dibeli di stesen PETRONAS di seluruh negara dan perbankan dalam talian. Selain itu, pengguna Dompet Keluarga yang membayar petrol untuk ahli keluarga, boleh menggalakkan mereka menggunakan Setel Lite sekiranya versi ringan aplikasi Setel ini lebih sesuai dengan pilihan dan keperluan mereka.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkata, “Berpegang kepada matlamat untuk sentiasa memberi kepuasan kepada pelanggan dalam semua usaha yang dilakukan, Setel Lite dibina hasil daripada maklumbalas pelanggan, memahami kesukaran urus niaga yang mereka hadapi dan sentiasa berinovasi demi mobiliti inklusif.

Menerusi Setel Lite, kami berharap dapat menjadikan pengalaman mengisi petrol lebih mudah diakses dan mesra pengguna kepada segmen komuniti yang kurang diberi perhatian dan mereka yang mempunyai isu sambungan selular serta fungsi telefon yang terhad.

Setel Lite juga berharap dapat mengurangkan kebimbangan dalam penggunaan aplikasi untuk mengisi petrol disebabkan oleh ciri-ciri yang canggih, terutamanya dalam kalangan warga emas. Setel Lite juga merupakan satu inisiatif mendorong ke arah masyarakat tanpa tunai untuk pelanggan yang sering bergantung kepada penggunaan tunai.”

Selain daripada muka aplikasi yang dipermudahkan, Setel Lite direka dengan fungsi utamanya 

dikekalkan iaitu pengisian petrol, pengumpulan dan penyemakan mata ganjaran Mesra serta mengekalkan ciri pembayaran Dompet Keluarga. Berikut adalah tawaran nilai utama yang terdapat pada Setel Lite:

Saiz muat turun yang kecil: Aplikasi ini tidak mengambil ruang storan telefon yang banyak. Serasi dengan semua peranti Android, termasuk sistem pengendalian yang terdahulu seperti Android 4.4 atau EMUI 3 dan ke atas.

Mesra data mudah alih: Aplikasi ini berfungsi dengan lancar meskipun pada sambungan internet mudah alih yang asas atau lebih perlahan (berfungsi walaupun dengan EDGE, 2G atau 3G).

Mudah digunakan oleh semua, termasuklah warga emas: Ciri ringkas dan butang aplikasi yang lebih besar supaya golongan ibu bapa (atau datuk dan nenek) boleh menggunakannya dengan mudah.

Kumpul 3x mata ganjaran Mesra: Dapatkan sehingga 3x mata ganjaran Mesra untuk setiap pembelian petrol. Semak jumlah mata ganjaran melalui aplikasi pada bila-bila masa.

Selamat digunakan di stesen petrol: Diuji dan dipantau mengikut garis panduan Kesihatan, Keselamatan & Alam Sekitar (HSE) PETRONAS.

Setel Lite boleh digunakan di semua stesen PETRONAS di seluruh negara. Pengisian petrol adalah ciri pertama yang diperkenalkan dalam versi ringan aplikasi Setel ini dan lebih banyak lagi ciri akan dilancarkan secara berperingkat kelak.

Muat turun aplikasi Setel Lite dengan percuma melalui Google Play Store. Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Setel Lite dari Huawei AppGallery tidak lama lagi! Untuk maklumat lanjut mengenai aplikasi ini, sila layari https://setel.com/setel-lite.  

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.