MediaTek telah mengumumkan cip mercu baharunya Dimensity 9500 yang menurutnya akan menjadi piawaian baharu untuk AI dalam peranti dan kecekapan tenaga. Dimensity 9500 menggunakan teras CPU Arm generasi baharu dengan rekaan “All Big Core”.
Ia menggunakan satu teras Arm C1-Ultra diklokkan pada 4.21Ghz, tiga teras C1- Premium, dan empat teras C1-Pro yang dihimpunkan. Menurut MediaTek, cip ini mempunyai prestasi 32% lebih tinggi untuk teras tunggal dan 17% lebih tinggi untuk berbilang teras berbanding Dimensity 9400. Untuk teras Ultra sahaja, ia mampu mencapai penggunaan tenaga 55% lebih rendah pada prestasi kemuncak.
Dimensity 9500 juga dikatakan 30% lebih lestari tenaganya ketika melakukan berbilang tugasan. Sokongan Armv9.3 turut disediakan dengan set arahan SME2 baharu untuk prestasi persepsi AI lebih pantas dan kecekapan pembelajaran mesin (machine learning, ML).
Menampilkan GPU Arm G1-Ultra baharu, ia mampu memberikan prestasi kemuncak 33% lebih tinggi dan kecekapan tenaga yang lebih ditambahbaik 42%. Ia juga mempunyai unit surihan sinar (ray-tracing) dua kali dengan prestasinya dijanjikan 112% lebih pantas. Sokongan permainan bersurih sinar dengan sisipan (interpolation) turut disokong sehingga 120fps. Juga disokong, saluran surihan sinar Vulkan dan ciri UnrealEngine 5 MegaLights dan Nanite.
Keupayaan AI dengan sokongan NPU
Pemprosesan baharu ini juga mempunyai NPU 990 dengan Generative AI Engine 2.0 yang mampu menggandakan kuasa perkomputeran berbanding sebelumnya. Ia juga memperkenalkan pemprosesan model raya BitNet 1.58-bit dengan pengurangan penggunaan tenaga sehingga 33%.
Melalaui keupayaan perkomputeran integer dan titik apung yang digandakan, pengguna dijangka dapat menikmati output LLM 3 billion parameter 100% lebih pantas, pemprosesan panjang 128,000 token, janaan imej 4K, pada penggunaan tenaga 56% lebih rendah pada prestasi kemuncak.
Ciri-ciri NPU Super Effiicient baharu ini juga merupakan yang pertama di dalam senibina penghintungan-dalam-memori. Oleh itu, ia mampu mengurangkan penggunaan tenaga dan membolehkan model-model AI dijalankan secara berterusan.
ISP MediaTek Imagiq 1190 baharu di dalam Dimensity 9500 menyokong fail pra-pemprosesan RAW untuk tangkapan sehingga 200MP. Ia juga menyokong penjejakan fokus berterusan 30fps dan enjin potret baharu dengan video potret 4K 60fps. Ciri MiraVision Adaptive Display juga disediakan sokongannya.
Akhir sekali, Dimensity 9500 mempunyai penggunaan tenaga 10% lebih rendah dalam 5G dan 20% dalam Wi-Fi, manakala lebar jalur untuk penganggregatan pembawa 5CC ditingkatkan sebanyak 15%. Serta teknologi kedudukan AI dan pemilihan rangkaian pula menawarkan kejituan 20% lebih tinggi, dan kelewahan rangkaian 50% lebih rendah hasil penggunaan ramalan kesesakan melalui AI.
MediaTek Dimensity 9500 dijangka akan menyaingi Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 untuk ditempatkan pada peranti-peranti mercu yang akan datang. Oppo Find X9 Pro dan Vivo X300 dijangka akan menggunakan pemprosesan baharu ini.