Utama Pendidikan MDEC umum Glow Aspirasi untuk perkukuhkan perkongsian ekonomi dan menyokong pekerja bebas...

MDEC umum Glow Aspirasi untuk perkukuhkan perkongsian ekonomi dan menyokong pekerja bebas digital

527
0

CYBERJAYA, 27 JULAI 2022: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, hari ini mengumumkan program Global Online Workforce Aspirasi (GLOW Aspirasi), iaitu sebuah program untuk membantu rakyat Malaysia menjadi pekerja bebas digital yang lebih berdaya saing di peringkat global.

GLOW Aspirasi merupakan program sokongan kepada program utamanya, iaitu GLOW, yang telah diperkenalkan sejak 2016. Program baharu ini akan memberi tumpuan kepada penyediaan latihan intensif, dimana sesi bimbingan dijalankan sepenuhnya oleh MDEC untuk memastikan kualiti dan keberkesanannya.

Program yang akan dijadualkan berlangsung dari Mei hingga September 2022 ini akan menyediakan latihan, jurulatih dan mentor kepada 4,000 rakyat Malaysia untuk menjadi pekerja bebas digital. Ia menetapkan sasaran iaitu sekurang-kurangnya 75 peratus daripada peserta yang dilatih akan berjaya menjana pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata GLOW Aspirasi ini dipacu oleh platform digital yang memenuhi permintaan persekitaran ekonomi semasa.

“Kami berhasrat untuk memadankan kedua-dua elemen berkenaan bagi mempromosikan akses platform digital kepada rakyat yang berminat untuk terlibat dalam perkongsian ekonomi.

“Kami mahu memanfaatkan dan mengaktifkan semula aset-aset yang tidak dimaksimumkan penggunaannya dalam ekonomi dan merebut pelbagai peluang bagi meningkatkan pendapatan isi rumah. Ia boleh dilakukan melalui peningkatan kemahiran dan menambah baik kebolehpasaran pekerja gig,” kata beliau.

Program ini menyasarkan graduan menganggur dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang memegang diploma atau ijazah dalam Teknologi Maklumat (IT), Sains Komputer, Multimedia, Perniagaan, Pemasaran, Hospitaliti dan Bahasa.

MDEC juga memberi keutamaan kepada pekerja dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, kreatif media dan pendidikan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, khususnya pekerja yang diberhentikan serta mereka yang dikenakan pemotongan gaji lebih daripada 30 peratus.

Menerusi program ini, peserta akan diberi pendedahan dan panduan untuk mengenal pasti platform dalam talian yang mereka boleh manfaatkan kemahiran, serta latihan yang diperlukan untuk meningkatkan kemahiran.

Peserta akan diperkenalkan dengan lima topik kluster penting seperti laman sesawang, Teknologi Maklumat (IT) dan perisian; penulisan kandungan; perekaan, media dan seni bina; pengurusan data dan kerani pejabat maya; dan jualan dan pemasaran.

Sesi latihan akan dikendalikan oleh jurulatih GLOW yang merupakan antara pekerja bebas berpengalaman yang memiliki pencapaian yang cemerlang dan menyediakan sesi mentor secara percuma sehingga peserta berjaya memperoleh projek sendiri di platform yang diiktiraf oleh MDEC.

MDEC telah bekerjasama dengan hos platform tempatan dan antarabangsa untuk menyediakan jaminan kepada pekerja bebas untuk membuat bidaan pekerjaan, dan projek di persekitaran digital yang selamat dan dilindungi. Antara platform berkenaan ialah Upwork, Freelancer.com, Workana, Topcoder, 123RF, Favser.com, Rtist, Experfy, DesignCrowd dan PeoplePerHour.

Sejak dilancarkan pada tahun 2016, GLOW telah memperkasa bakat tempatan menerusi latihan semula dan peningkatan kemahiran, serta membantu mempromosikan pekerjaan bebas dalam talian untuk diiktiraf sebagai kerjaya yang lumayan dan mampu memberikan pendapatan yang mampan.

Secara keseluruhan, program GLOW telah berjaya melatih seramai 73,198 peserta dan membantu mereka menjana pendapatan terkumpul lebih RM240 juta.

Bagi maklumat lanjut mengenai GLOW Aspirasi dan untuk mendaftar, sila layari mdec.my/glowmalaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.