Utama Mobile Telco Malaysia mengalu-alukan kedatangan Starlink, Wakil akan ke Malaysia pada Minggu Depan

Malaysia mengalu-alukan kedatangan Starlink, Wakil akan ke Malaysia pada Minggu Depan

286
0

Ditawarkan di 32 buah negara buat masa ini, SpaceX baru-baru dilaporkan sedang merancang untuk memperluaskan perkhidmatan internet satelit Starlink ke lebih banyak lagi negara pada tahun 2023. Malaysia merupakan salah satu negara yang mungkin akan menerima perkhidmatan tersebut.

Syarikat yang dimiliki oleh Elon Musk ini pernah sebelum ini menyatakan perkhidmatan internet satelit Starlink akan tiba ke Malaysia sekitar 2022. Walaubagaimanapun, tiada maklumat yang dikeluarkan dari agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan perkara tersebut setakat ini.

Bagaimanapun, sebuah untaian di Twitter oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Seri Azmin Ali telah menyatakan pandangan rasmi dari pihak kerajaan berkenaan Starlink. Beliau buat masa ini sedang mengadakan rundingan perdagangan di Amerika Syarikat dan sebelum ini telah bertemu dengan wakil dari Microsoft dan Amazon.

Ketika sesi pertemuan dengan Starlink, beliau telah disambut oleh Pengarah Jualan Komersil SpaceX Andrew Matlock, Naib Presiden Jonathan Hofeller dan Samuel Gibbs IV. Turut mewakili SpaceX, Pengurus Kanan Hal Ehwal Kerajaan Rebecca Hunter.

Menurut untaian di Twitter berkenaan, Azmin Ali menjelaskan secara umum mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh Starlink. Di dalam untaian tersebut juga, beliau turut menyatakan pihak kerajaan mengalu-alukan kedatangan Starlink di Malaysia.

Wakil-wakil dari Starlink juga dilaporkan akan datang ke Malaysia pada minggu depan bagi mengadakan perbincangan yang lebih terperinci berkenaan perihal dasar perkhidmatan internet satelit di Malaysia.

Perkhidmatan Starlink buat masa ini menawarkan kit pemasangan permulaannya pada harga US$599 (~RM2,638) dengan yuran langganan bulanannya US$110 (~RM485).

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.