Dell telah mengumumkan laptop gaming terbaru keluarannya untuk pasaran Malaysia melalui Dell G3 15 keluaran tahun 2020. Laptop ini merupakan versi G3 15 yang telah diperbaharui.
Oleh sebab itu, rekaan fizikalnya adalah sama dengan keluarannya yang tahun lepas. Hadir dengan pemprosesan Intel Core siri-H Gen Ke-10, laptop ini hadir dengan pilihan Intel Core i5-10300H atau Core i7-10750H bersama-sama grafik NVIDIA GeForce GTX 1650, GTX 1650 TI, atau GTX 1660 Ti.
Model G3 15 yang diperbaharui ini dikenali secara spesifiknya sebagai Dell G3 15 3500. Ia turut didatangkan bersama-sama pilihan pemacu keadaan pejal (SSD) PCI NVMe 256GB atau 512GB.
Berdasarkan senarai yang disediakan melalui laman web rasmi Dell Malaysia, laptop ini turut hadir dengan RAM standard DDR4-2933 8GB. Ia juga menyediakan sebuah panel VA 60Hz untuk paparan Full HD 15.6-inci.
Dari segi harga, Dell G3 15 3500 dengan Core i5-10300H, GeForce GTX 1650, dan SSD 256GB berharga RM 3699. Manakala untuk variasi Core i5 yang dilengkapkan dengan GeForce GTX 1650 Ti dan SSD 512GB pula dijual pada harga RM 4199.
Variasi ketiga pula yang menawarkan Core i7-10750H, GeForce GTX 1660 Ti, dan SSD 512GB pula disenaraikan pada harga RM 5399. Harus diingat harga yang disenaraikan ini adalah harga selepas potongan diskaun untuk masa yang terhad. Harga yang dinyatakan ini mungkin berubah tertakluk kepada perubahan yang dilaksanakan oleh Dell kelak.
Untuk maklumat lanjut mengenai Dell G3 15 3500, layari laman web rasmi Dell Malaysia.