Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mula membuat pembayaran pengeluaran i-Lestari yang diluluskan bermula dari hari ini sehingga 18 Mei 2020.
Para pencarum yang telah diluluskan permohonan akan dimaklumkan melalui sistem i-Lestari Online apabila pengeluaran telah berjaya dipindahkan ke akaun bank pencarum yang aktif. Bagaimanapun, transaksi ini mengambil masa antara satu hingga tiga hari bergantung pada pihak bank sebelum pencarum boleh membuat pengeluaran tersebut.
Menurut Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias,
“Tarikh sebenar wang tersedia dalam akaun bank untuk membolehkan ahli membuat pengeluaran adalah tertakluk kepada proses pelepasan bayaran bank masing-masing.
“Ahli perlu memastikan akaun bank mereka masih aktif dan tidak dibekukan,”
“KWSP mengadakan perbincangan mendalam dengan bank-bank rakan kongsi sepanjang bulan lalu bagi memastikan sistem dan infrastruktur mereka bersedia untuk menerima dan memproses sejumlah besar deposit pada satu-satu masa.
“Kami kemudian bersetuju bahawa kaedah terbaik dan paling selamat adalah melalui pindahan dana harian secara berperingkat daripada KWSP ke institusi kewangan.
“Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, dijangkakan keseluruhan proses ini akan diselesaikan dalam masa dua minggu atau lebih awal,”
Lebih dari 3.51 juta permohonan yang diterima telah diluluskan. Skim Pengeluaran i-Lestari telah dilancarkan sejak dari awal April 2020, dan permohononan sejumlah RM1.66 billion telah diluluskan KWSP kepada pencarum-pencarumnya.