Kemaskini terbaru MySejahtera telah menyertakan modul baharu yang dinamakan sebagai Vaksinasi COVID-19. Modul ini boleh digunakan untuk pengguna mendaftar minat untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Januari lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah menyatakan orang ramai boleh mendaftar untuk menerima vaksin melalui MySejahtera. Kaedah ini merupakan salah satu dari lima kaedah yang boleh digunakan untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menerusi kemaskini terbaru MySejahtera versi 1.0.28 untuk kedua-dua iOS dan Android ini, pengguna dapat melihat penambahan modul baharu berkenaan. Selepas mengetik modul tersebut, pengguna akan ke halaman seterusnya yang tertera “Vaksin untuk [nama penuh pengguna]”. Selepas itu, pengguna dikehendaki mengesahkan maklumat peribadi yang akan digunakan.

Seterusnya, pada laman-laman berikutnya menyatakan Fasa 1 program menumpukan pada anggota barisan hadapan. Pengguna yang berminat untuk mendapatkan vaksin boleh mengetik pada pautan yang disediakan.

Pautan tersebut akan meminta pengguna menjawab soalan-soalan berkaitan dan meminta pengguna menghidupkan notifikasi MySejahtera untuk menerima pemakluman terkini berkenaan vaksin.

Orang ramai yang berminat untuk menerima suntikan vaksin boleh mengemaskini aplikasi MySejahtera masing-masing menerusi Google Play Store, Apple Apple Store dan Huawei App Gallery.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.