iOS 16 dijangka akan memperkenalkan ciri sokongan ‘always-on display’ (AOD) dan akan menemui pengguna pada peranti seperti iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max pada tahun ini.
Siri iPhone 14 yang disasarkan akan dilancarkan sekitar musim luruh tahun ini akan membawakan perubahan pada teknologi paparannya. Antara yang hangat diperkatakan adalah penawaran kadar penyegaran semula yang amat rendah iaitu 1Hz. Bagi membolehkan ciri berkenaan dapat digunakan, Apple akan menyediakan tapak asasnya di dalam iOS 16.
Menurut Mark Gurman dari Bloomberg, iOS 16 akan memberikan sokongan untuk “always-on lock screen”. Ini mmebolehkan iPhone untuk mengurangkan kadar bingkai yang sewajarnya pada skrin berkunci sambil memaparkan maklumat sepintas lalu di atasnya. Ia mirip pada konsep yang digunakan pada beberapa model Apple Watch.
Beliau turut menambah ciri ini pada asalnya Apple pernah merancang untuk memperkenalkannya pada iPhone 13. Pun begitu, Apple menyediakan panel paparan poli-kristal oksida bersuhu rendah (low-temperature polycrystalline oxide, LPTO) pada iPhone 13 Pro.
Disasarkan untuk diperkenalkan di dalam acara WWDC 2022 pada 6 Jun ini, iOS 16 dikatakan akan memperkenalkan beberapa pembaharuan pada aplikasi terbina dalam dan juga cara baharu dalam berinteraksi disamping mengekalkan ciri-ciri estetika iOS 15.
Menurut Gurman lagi, ini turut merangkumi kemaskini pada notifikasi berbilang tugas iPad dan kemaskini pada aplikasi Messages dan Health. Perubahan rekaan pada skrin berkunci pula dijangka akan melibatkan hiasan latar yang mempunyai ciri seperti widget.
Aplikasi Messages pula mungkin akan mempunyai kefungsian seperti rangkaian sosial dengan perubahan besar pada mesej beraudio. Untuk tvOS pula, Gurman menjangkakan lebih banyak ciri rumah pintar akan diperkenalkan. Manakala macOS pula akan memberikan rekaan baharu pada System Preferences bagi menjadikannya lebih mirip dengan Settings di dalam iOS.