Jabatan Imigresen Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tiga aplikasi yang berkaitan perkhidmatannya. Aplikasi berkenaan iaitu MyBorderPass, MyNIISe dan MyDigital ID, dilihat seperti menawarkan fungsi yang sama.

Walaubagaimanapun, ketiga-tiga aplikasi tersebut mempunyai fungsinya yang tersendiri.

MyNIISe

National Integrated Immigration System (MyNIISe) direka sebagai platform tunggal bersepadu yang kelak akan menggabungkan semua urusan dan perkhidmatan berkaitan imigresen Malaysia ke dalam satu aplikasi.

Platform ini merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi jabatan yang lebih luas di bawah projek NIISe. Ia bertujuan memodenkan dan akan menggantikan sistem lama secara berfasa tanpa mengganggu operasi semasa.

Buat masa ini, lokasi yang disokong hanya melibatkan pusat pemeriksaan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sempadan Malaysia–Singapura. Penggunaannya buat masa ini masih belum diwajibkan.

MyBorderPass

MyBorderPass pula mempunyai tujuan berbeza dan diwujudkan sebagai penyelesaian sementara. Diperkenalkan pada tahun 2024, aplikasi ini berfungsi sebagai bukti konsep untuk membantu mengurangkan kesesakan di pintu masuk utama.

Pada ketika ini ia digunakan sebagai langkah sementara semasa pembangunan dan integrasi sistem MyNIISe. Sistem baharu tersebut dijangka akan menggantikan MyBorderPass sebaik sahaja ia selesai dilaksanakan.

MyDigital ID

Jabatan berkeaan turut menjelaskan kekeliruan mengenai MyDigital ID. Menurutnya, aplikasi berkenaan bukan bertujuan untuk pelepasan imigresen.

Sebaliknya, MyDigital ID beroperasi sebagai platform identiti digital nasional yang menyediakan mekanisme log masuk tunggal. Lapisan pengesahan pengguna di dalamnya merentasi perkhidmatan kerajaan, termasuk akses kepada MyNIISe. Ia sama sekali tidak akan menggantikan sistem atau proses imigresen.

Strategi Peralihan secara Berfasa

Mengenai dakwaan pertindihan fungsi, Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan setiap aplikasi memenuhi keperluan berbeza dalam strategi peralihan berperingkat.

Pihak jabatan juga menjelaskan persediaan berbilang aplikasi buat masa ini diperlukan bagi memastikan operasi sempadan terus berjalan lancar ketika proses pembangunan MyNIISe sedang dilaksanakan.

Tinggalkan komentar