Honor dilaporkan sedang merancang untuk melancarkan telefon pintar terbarunya pada bulan ini. Jenama di bawah Huawei ini telah berkongsikan mengenainya menerusi akaun rasmi Weibo. Telefon pintar berkenaan akan dikenali sebagai X10 dan akan diumumkan pada 20 Mei ini.
Secara rasminya Honor masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkakasan dan rekabentuknya. Bagaimanapun, laporan awal dari GSMArena mengatakan Honor X10 dikuasakan oleh cipset Huawei Kirin 820 5G. Maklumat yang diperoleh TENAA ini turut menyatakan telefon pintar tersebut mempunyai paparan LCD IPS 6.63-inci dengan bateri berkapasiti 4,200mAh yang menyokong pengecasan berwayar 22.5W.
Seterusnya untuk kamera, Honor X10 dikatakan menyediakan modul kuad-kamera yang mengandungi lensa Sony IMX600y 40MP, 8MP ultra-lebar, dan dua lensa 2MP masing-masing untuk makro dan kedalaman.
Bagi kamera hadapannya, ia menyediakan sebuah lensa 16MP untuk tujuan swafoto. Turut disediakan pengimbas cap jari yang ditempatkan di sisinya, hampir sama seperti yang terdapat pada Honor 9X Pro.
Setakat ini, itu sahaja maklumat yang dapat diperolehi berkenaan telefon pintar ini. Pengguna mungkin perlu menunggu sehingga 20 Mei untuk mendapatkan info-info rasmi berkenaan Honor X10.