Utama Mobile Android Google bakal perkenal tablet Android, Pixel C 10.2 inci

Google bakal perkenal tablet Android, Pixel C 10.2 inci

655
1

Google dilaporkan bakal memperkenalkan tablet Android yang dikenali sebagai Pixel C. Menurut laporan dari Android Police produk terbaru dari syarikat enjin carian ini mengutamakan produktiviti penggunaannya dan ia bakal diperkenalkan dalam minggu ini.

Terdahulu, Google pernah memperkenalkan rangkaian tablet-tablet Android di bawah jenama Nexus seperti Nexus 7, Nexus 8 dan Nexus 10. Jadi, apakah perbezaan yang bakal dibawakan melalui jenama Pixel ini?

Dijangkakan ia mengikut jejak langkah laptop Chromebook Pixel dan ‘keturunannya’ yang menggunakan perkakasan-perkakasan berkualiti premium seperti penggunaan labuhan USB Type-C untuk sambungan bekalan kuasa dan juga pemindahan data.

Turut dilaporkan, dari segi perkakasan Pixel C bakal dikuasakan oleh pemprosesan Nvidia X1 serta memori sebanyak 3GB. Skrin paparan sesentuh yang bersaiz 10.2-inci mempunyai ketumpatan 308 piksel setiap inci, sedikit lebih berbanding Nexus 10 iaitu 300 piksel setiap inci.

Pixel C dijangkakan hadir dengan aksesori pilihan papan kekunci demi memberikan peningkatan produktiviti buat para penggunanya.

Tablet kembali mendapat perhatian di kalangan pengguna terutamanya yang mementingkan produktiviti sejak Microsoft mula memperkenalkan Surface berserta sokongan papan kekuncinya. Malah, pihak Apple juga memperkenalkan aksesori papan kekunci melalui pengenalan iPad Pro yang dilancarkan baru-baru ini.

Semestinya, tablet yang hadir dengan sokongan papan kekunci mampu meningkatkan daya produktiviti pengguna terutamanya dikalangan penulis. Berbanding penggunaan skrin sesentuh, kepantasan menaip melalui papan kekunci fizikal jauh lebih baik dari sentuhan pada papan kekunci maya pada skrin sesentuh.

-Sumber laporan dipetik dari Android Police

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.