Baru-baru ini Google telah mengemaskini aplikasi pemetaannya, Google Maps untuk versi iOS. Salah satu ciri penambahbaikan yang diperkenalkan melalui kemaskini adalah fungsi sokongan penggunaan secara offline.
Kini, pengguna iOS boleh menggunakan Google Maps tanpa sambungan ke internet. Sebaik sahaja peta-peta disimpan ke storan dalaman peranti, pengguna boleh menggunakan untuk mencari destinasi di samping boleh mendapatkan navigasi mengikut setiap persimpangan jalan, dan juga info berkenaan premis-premis perniagaan di dalam peta yang disimpan tersebut.
Peta-peta offline ini bakal memerlukan ruang storan dalaman yang amat besar di dalam peranti pengguna. Sebagai contoh, saiz peta untuk kawasan Lembah Klang, kawasan paling kecil yang diliputinya pun paling kurang memerlukan sekitar 200 MB. Bagaimanapun, peta-peta offline ini akan terhapus secara automatik sebulan selepas ianya dimuat turun.
Bagi pengguna yang ingin menggunakan fungsi navigasi kenderaan awam, basikal dan berjalan kaki, pengguna masih lagi perlu untuk bersambung dengan internet. Hal ini kerana kemaskini ini buat masa ini masih lagi belum menyediakan ciri sokongan untuk ketiga-tiga mod pengangkutan berkenaan secara offline.
Google terdahulu telah pun menyediakan fungsi penggunaan peta secara offline melalui kemaskini Google Maps untuk versi Android pada bulan lalu. Melalui penyediaan fungsi peta offline ini, Google telah banyak membantu para pengguna-pengguna mendapatkan tunjuk arah dalam situasi-situasi mendesak seperti melalui kawasan yang tiada liputan telekomunikasi dan juga dalam keadaan berjimat bateri.
-Sumber berita diperoleh dari App Store