Google telah mengumumkan dua ciri baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) pada aplikasi Google Maps yang dikuasakan Gemini. Ia bertujuan untuk menjadikan pengalaman pemanduan lebih intuitif.
Kemas kini baharu ini direka untuk mengurangkan tekaan pemandu dan menghapuskan kerumitan mencari maklumat destinasi secara manual.
Melalui ciri Ask Maps, aplikasi ini menawarkan interaksi berasaskan perbualan yang mampu menjawab soalan dunia sebenar yang kompleks.
Sebagai contoh, pengguna boleh mengarahkan aplikasi mencari lokasi terdekat untuk mengecas telefon pintar dan ia akan memaparkan lokasi, peta, serta arah yang disesuaikan.
Menurut Google, Maps menganalisis maklumat daripada lebih 300 juta tempat. Selain itu, AI Gemini turut memanfaatkan data daripada sejarah carian pengguna dan lokasi yang disimpan untuk memberikan cadangan yang tepat serta relevan secara peribadi.
Info ringkas ciri baharu Google Maps
Antara ciri utama yang diperkenalkan melalui kemas kini ini termasuk:
- Navigasi Imersif 3D: Paparan visual baharu yang mencerminkan bentuk muka bumi dengan lebih tepat, di samping menonjolkan maklumat penting seperti lorong jalan, lampu isyarat, dan papan tanda berhenti.
- Sistem Zum Pintar: Menawarkan pandangan yang lebih meluas berserta elemen bangunan telus untuk membantu pemandu merancang dan bersedia sebelum membuat pusingan atau menukar lorong.
- Analisis Laluan Automatik: Aplikasi kini akan memaparkan kelemahan laluan alternatif, seperti kewujudan plaza tol atau masa perjalanan tambahan, serta memberikan amaran masa nyata tentang kemalangan mahupun kawasan pembinaan.
- Pratonton Destinasi Komprehensif: Pemandu boleh meninjau destinasi menggunakan imej Street View, menerima cadangan lokasi tempat letak kereta, dan melihat penanda pintu masuk bangunan yang tepat sebelum tiba.
- Panduan Suara Semula Jadi: Sistem panduan suara navigasi telah dikemas kini untuk kedengaran lebih asli dan jelas kepada pemandu.
Buat masa ini, ketersediaan ciri Ask Maps terhad kepada pengguna sistem Android dan iOS di Amerika Syarikat dan India. Manakala versi desktop akan menyusul kemudian.
Sementara itu, ciri navigasi imersif kini sedang dilancarkan secara berperingkat di seluruh Amerika Syarikat untuk peranti yang disokong termasuk platform CarPlay, Android Auto, dan kenderaan bersistem Google terbina dalam.
Syarikat gergasi teknologi tersebut masih belum mengumumkan sebarang perancangan untuk peluasan rasmi ciri ini ke rantau global yang lain.













