Bersempena pelancaran Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Google turut mengumumkan pembangunan “AI at Work”, salah satu daripada dua program berasaskan AI yang kini sedang di dalam talian paip (pipeline).
AI at Work buat masa ini merupakan program rintis dengan Kementerian Digital yang bertujuan meningkatkan produktiviti melalui bantuan AI dengan tugasan seperti penulisan laporan dan merumuskan mesyuarat yang seterusnya menjimatkan masa yang berharga penjawat awam untuk menumpukan hal-hal yang lebih penting.
Secara ringkasnya, Google Cloud dan pihak Kementerian Digital berhasrat mengintegrasikan Gemini for Workspace ke dalam aliran kerja harian penjawat awam.
“Sebuah rakan usaha sama AI sentiasa-sedia yang membantu pasukan menulis, mengaturgerak, memberikan gambaran, mempercepat aliran kerja, mesyuarat yang lebih bermakna, dan banyak lagi, Gemini for Workspace dibina untuk mengutamakan keperluan harian sesebuah organisasi. Ia memberikan pengguna akses ke Gemini – model AI berbilang modal paling berkuasa daripada Google, dibina ke dalam aplikasi kolaborasi dan produktiviti yang digunakan oleh berbilion pengguna setiap hari bersama-sama perlindungan bergred perusahaan terbina dalam yang dapat memastikan data tidak dikongsikan di luar daripada organisasi.”

Selain dari program AI at Work, Google juga berhasrat untuk menambah NotebookLM sebagai perkhidmatan tambahan untuk penjawat awam. Melalui alatan tersebut, para penjawat awam boleh memuat naik dokumen sumber ke dalam “Notebook” dan bertanyakan soalan kepada NotebookLM berkenaan maklumat di dalam sumber tersebut.













