WhatsApp telah memperkenalkan sebilangan ciri panggilan baharu untuk pengguna aplikasi mudah alih dan juga desktop. Ia merangkumi keupayaan untuk memilih peserta panggilan, kesan khas tambahan video, kualiti panggilan yang dipertingkatkan melalui desktop dan panggilan video yang lebih tinggi kualitinya.
Apabila memulakan panggilan dari kumpulan borak, anda boleh memilih peserta tertentu untuk berborak secara bersemuka dengannya sahaja di dalam kumpulan tersebut. Ciri berborak secara bersasar ini membolehkan komunikasi secara dua hala dapat dilakukan tanpa mengganggu peserta-peserta lain di dalam kumpulan berkenaan. Senang cakap, boleh ajak ‘sembang tepi’.
Untuk membuat panggilan video lebih meriah, WhatsApp turut menambahkan sepuluh kesan-kesan khas yang menghiburkan. Menurut platform berkenaan, kesan khas ini meliputi dari pilihan yang comel seperti telinga anak anjing hinggalah yang lebih imersif seperti berada di dalam air atau mikrofon,
Pengguna PC dan laptop juga kini lebih mudah untuk memulakan panggilan menerusi antaramuka yang ditambahbaik di dalam aplikasi desktop WhatsApp. Tab khas untuk panggilan kini membolehkan pengguna membuat panggilan dengan segera, membuat pautan untuk panggilan, atau mendailkan nombor secara terus.
Selain itu, pengguna versi mudah alih dan desktop juga boleh menikmati kualiti panggilan video yang dipertingkatkan dengan resolusi yang lebih tinggi dan stabil. Sama ada panggilan secara antara satu-ke-satu atau secara berkumpulan, platform permesejan popular ini menjanjikan keupayaan video yang ditambahbaik bagi memastikan sambungan yang lebih jelas dan stabil.
Kesemua ciri-ciri baharu tersebut telah pun tersedia di dalam seluruh platform WhatsApp untuk dicuba oleh pengguna sekarang.