Imej foto yang didakwa sebagai Samsung Galaxy Z Fold 6 telah tertiris di arena web dan dikongsikan oleh pengguna di X (dahulu dikenali sebagai Twitter), Ice Universe. Di dalam imej tersebut ditunjukkan peranti yang kononnya Galaxy Z Fold 6 diletakkan bersebelahan dengan Galaxy Z Fold 5.

Di dapati, rekabentuk telefon pintar boleh lipat berkenaan menampilkan reka bentuk yang lebih petak berbanding model sebelumnya. Sungguhpun nisbah aspeknya masih lagi tinggi, skrin luarannya kelihatan lebih melebar dengan bingkai yang sedikit nipis.

Maklumat baharu yang tertiris ini juga kelihatan senada dengan maklumat dari seorang lagi pentiris Steve Hemmerstoffer (aka OnLeaks) pada Februari lalu yang menunjukkan rekabentuk dalam bentuk imej pengolokan.

Jika maklumat yang ditiriskan ini tepat, secara visualnya Galaxy Z Fold 6 menampilkan reka bentuk yang lebih bersimetri. Sungguhpun engselnya masih lagi kelihatan, ia tidaklah begitu ketara seperti sebelumnya dengan bingkai yang mengelilinginya yang lebih sekata.

Tidak dapat dipastikan rekaan sebegini akan merangkumi model-model lain telefon pintar ini yang digembar-gemburkan seperti model Ultra yang mempunyai S-Pen terbina dalam dan model peringkat pemula yang masih lagi belum dinamakan. Pun begitu, model peringkat pemula tersebut turut dilaporkan mungkin dibatalkan dan dijangka akan diperkenalkan pada tahun hadapan pula.

Macam biasa, laporan-laporan sebegini masih lagi sekadar khabar angin selagi tidak diputuskan kesahihannya oleh pihak Samsung sendiri. Dalam pada masa yang sama, siri Galaxy Z Fold 6 dan Z Flip 6 berkemungkinan akan diperkenalkan di dalam acara Galaxy Unpacked berikutnya di Paris pada 10 Julai ini.

Tinggalkan komentar