Tidak sampai beberapa hari selepas pelancaran FIFA 20 pada 27 September lalu, peminat-peminat siri permainan bola sepak ini telah melampiaskan rasa amarah mereka melalui laman penarafan Metacritic.
Siri permainan boa sepak tahunan ini telah menerima ‘markah pengguna’ sebanyak 1.6 dari 10 dengan sejumlah besar pengguna memberikan maklumbalas negatif terhadap FIFA 20.
Antara maklumbalas yang diterima termasuk kurang pengemaskinian pada ‘Career Mode’, masalah pelayan EA yang kurang stabil dan ‘gameplay’ yang lembab.
Sesetengah pengguna merasakan ciri permainan ‘single player’ seringkali diabaikan oleh francais siri permainan FIFA ini sejak ia memperkenalkan FIFA Ultimate Team. Selain itu, senarai pemain-pemain di dalam pasukan juga tidak dikemaskini dan juga masalah untuk melakukan pemindahan pemain antara pasukan-pasukan bola sepak. Terdapat sebahagian pengguna yang menyarankan supaya menangguhkan dahulu pembelian permainan ini sementara EA memperbetulkan masalah-masalah yang terdapat di dalamnya.
Sungguhpun menerima maklumbalas negatif dari pengguna, agak menghairankan apabila FIFA 20 menerima maklumbalas positif dari kumpulan pengkritik. Sebanyak 33 pengkritik dari keseluruhan 41 pengkritik memuji siri terbaru permainan bola sepak ini.
Pengenalan ciri terbaru iaitu Volta yang memberikan mod permainan bola sepak jalanan merupakan kelainan yang mendapat pujian dari sebahagian besar pengkritik. Selain itu, pengkritik-pengkritik turut memuji gaya permainan terbaru yang turut memasukkan elemen fizik yang lebih jitu.
Walau apa jua markah yang diterima oleh FIFA di dalam laman Metacritic, ianya jauh lebih rendah dari apa yang dicapai oleh permainan Pro Evolution Soccer 2020 (PES 2020). Siri permainan bola sepak dari Konami ini mencatatkan markah 8.7 dari pengguna di Metacritic.