Laman fesyen e-dagang, FashionValet telah melancarkan platform bazar Ramadan dalam talian bagi menghubungkan peniaga makanan dan minuman dengan pelanggan-pelanggan sepanjang Ramadan ini.
Dikenali sebagai FVBazaar, perkhidmatan ini dibuka kepada semua kelompok peniaga makanan dan minuman, termasuk bagi yang berniaga dari rumah.
Inisiatif dari FashionValet ini bertujuan membantu para peniaga makanan menjana pendapatan berikutan arahan pembatalan bazar Ramadan di seluruh negara. Pendaftaran menyertai FVBazaar adalah percuma dan tiada caj komisen dikenakan.
Bagi peniaga-peniaga yang berminat untuk menyertai platform FV Bazaar ini, anda boleh mengunjungi laman rasmi FashionValet untuk pendaftaran.
Dalam perkembangan yang berkaitan, platform penghantaran makanan Foodpanda baru-baru ini telah mengumumkan e-Bazar Ramadan di Pulau Pinang. Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Penang Halal International.
Platform yang akan dibuka awal Ramadan ini membolehkan para pengguna mendapatkan pesanan melalui ruangan khususnya di dalam aplikasi Foodpanda.
Perkhidmatan e-Bazar Foodpanda ini buat masa ini terhad hanya di Pulau Pinang sahaja. Bagi anda yang berniaga berminat untuk menyertai, anda perlu mengisi borang ini di dalam talian bagi tujuan pendaftaran.
Kerajaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang bentuk bazar atau gerai dilaksanakan sempena Ramadan kali ini sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat hasil dari mesyuarat selepas meneliti dan mendengar pandangan Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bagaimanapun, perkhidmatan e-hailing seperti sekarang boleh terus beroperasi ketika Ramadan.