EVGA, salah satu gergasi pengeluar komponen PC telah memutuskan untuk tidak lagi menghasilkan kad grafik. Syarikat berkenaan telah menyatakan menerusi forum komuniti mengenai tindakan menamatkan pengeluaran kad grafik NVIDIA generasi berikutnya. Bagaimanapun, EVGA masih lagi kekal menjual dan memberikan sokongan untuk produk-produk generasi semasa yang sedia ada.
Menurut laporan dari Gamers Nexus, pihak EVGA tidak menyebut sama ada mempunyai rancangan untuk menghasilkan kad grafik AMD atau Intel buat masa ini.
EVGA dilaporkan membuat keputusan untuk tidak lagi bekerjasama selepas mendapati NVIDIA merupakan rakan perniagaan yang teruk. Tambah laporan berkenaan, NVIDIA sebelum ini dikatakan tidak memaklumkan kepada EVGA mengenai jumlah bayaran untuk mendapatkan teras-teras GPU sebelum membuat kenyataan secara umum berkenaan harga kad seperti RTX 3080.
Ia seterusnya menyukarkan EVGA untuk menentukan berapa harga yang perlu ditetapkan untuk produk keluarannya yang dibina berasaskan teknologi NVIDIA. Menurut laporan dari JayzTwoCents, NVIDIA menghantar pemacu (driver) yang diperlukan untuk memanfaatkan sepenuhnya GPU-GPU keluarannya kepada media terlebih dahulu sebelum menghantarkannya kepada EVGA.
Hal ini seterusnya membuatkan pengeluar tersebut tidak dapat mengetahui berapa banyak GPU yang diperlukan untuk diintegrasikan ke dalam rekaan dan produk keluarannya.
Tak untung buat kad grafik NVIDIA
Gamers Nexus juga melaporkan EVGA terpaksa menjual kad-kad grafik mercu seperti RTX 3080 atau 3090 pada harga yang tidak merugikan sekitar ratusan Dollar AS setiap satunya bagi membolehkan harganya kekal kompetitif dengan kad Founder Edition keluaran NVIDIA sendiri.
Laporan dari laman Tom’s Hardware memetik kenyataan EVGA di dalam forumnya yang menyebut:
“EVGA is committed to our customers and will continue to offer sales and support on the current lineup. Also, EVGA would like to say thank you to our great community for the many years of support and enthusiasm for EVGA graphics cards.”
EVGA juga menyatakan kepada Gamers Nexus mengenai hasratnya untuk kekal di dalam perniagaan ini dan tidak akan memberhentikan mana-mana pekerjanya. Cuma di masa akan datang, EVGA mungkin tidak memperluaskan lagi bidang pengkhususannya yang popular, produk kad grafik. Ini kerana EVGA turut menghasilkan produk-produk perkakasan PC lain seperti bekalan kuasa, papan induk dan lain-lain komponen dan aksesori PC.
Teknologi GPU NVIDIA sememangnya dianggap antara yang terbaik buat masa ini, namun syarikat berkenaan mempunyai reputasi yang buruk apabila melibatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat lain.