Emirates mengumumkan rancangan untuk melengkapkan keseluruhan armada 232 pesawat Boeing 777 dan Airbus A380 miliknya dengan sambungan Wi-Fi Starlink berkelajuan tinggi.

Inisiatif yang bermula pada November 2025 ini bakal menjadikan Emirates pengendali armada antarabangsa terbesar di dunia yang menggunakan teknologi satelit tersebut, menawarkan perkhidmatan internet percuma dan pantas kepada semua penumpang dalam setiap kelas kabin menjelang pertengahan 2027.​

Bermula 23 November ini

Penerbangan komersial pertama yang dilengkapi teknologi ini dijadualkan berlepas pada 23 November 2025 menggunakan pesawat Boeing 777, sejurus selepas pameran Dubai Airshow. Pemasangan pada armada Airbus A380 pula akan bermula pada Februari 2026.

Perkhidmatan ini membolehkan penumpang menstrim kandungan, bermain permainan video, membuat panggilan video, dan melayari media sosial secara serentak pada skrin tempat duduk serta peranti peribadi tanpa gangguan, setanding dengan kualiti internet di darat.​

“Menurut Sir Tim Clark, Presiden Penerbangan Emirates, kerjasama dengan Starlink merupakan detik penting dalam komitmen berterusan syarikat untuk memastikan pelanggan ‘terbang dengan lebih baik’. Kami memperkenalkan Wi-Fi terpantas di dunia, meningkatkan jangkaan penumpang terhadap sambungan dalam penerbangan seperti produktiviti lancar dan komunikasi masa nyata.”​

Proses naiktaraf ini akan dijalankan pada kadar 14 pesawat sebulan. Bagi memastikan liputan dan kapasiti optimum, setiap pesawat Boeing 777 akan dipasang dengan dua antena. Manakala pesawat A380 akan dilengkapi dengan tiga antena, seterusnya menjadikan usaha ini sebagai satu langkah pertama dalam industri penerbangan. Selain internet, Emirates juga bakal menawarkan siaran TV Langsung (Live TV) menerusi Starlink bermula akhir Disember 2025.​

Ciri-ciri utama perkhidmatan ini termasuk:

  • Akses Percuma: Tersedia untuk semua penumpang dalam semua kelas kabin tanpa memerlukan keahlian khas.
  • Pantas & Stabil: Menyokong aktiviti jalur lebar tinggi seperti penstriman dan permainan dalam talian.
  • Liputan Luas: Pemasangan menyeluruh pada 232 pesawat Boeing 777 dan A380 sedia ada.​

Langkah ini adalah sebahagian daripada program pengubahsuaian kabin besar-besaran Emirates yang turut merangkumi tempat duduk Ekonomi Premium baharu dan sistem hiburan yang dipertingkatkan.

Di Malaysia, Emirates kini mengendalikan 21 penerbangan mingguan antara Kuala Lumpur dan Dubai, memberikan akses global yang lancar kepada pelancong tempatan yang bakal menikmati kemudahan teknologi baharu ini.

Tinggalkan komentar