Windows 10 merupakan sistem operasi yang agak memuaskan pada masa kini dan ianya masih lagi dibelenggu dengan beberapa masalah.
Antara perkara yang sedikit merimaskan pengguna adalah OS ini penuh dengan perisian sampah yang jarang digunakan telah dipra-pasangkan seperti aplikasi Paint 3D.
Mujurlah pada kemaskini Windows 10 Sun Valley yang akan datang, Microsoft akan membuang perisian-perisian yang tidak diperlukan bagi pemasangan baharu.
Ini bermakna, anda tidak akan menerima aplikasi-aplikasi pra-pasang seperti 3D Viewer dan Paint 3D untuk pemasangan semula atau baharu.
Dua aplikasi berkenaan dialih keluar dari senarai aplikasi pra-pasang di dalam Windows 10 Insider bermula dari versi 21332.
Tidak semua orang menggunakan aplikasi berkenaan pada Windows 10 kerana penggunaannya yang terlalu khusus. Bukan seperti aplikasi Calendar dan Calculator yang lebih kerap digunakan kerana sifatnya yang lebih umum.
Aplikasi-aplikasi yang dibuang ini bagaimanapun bukan ditamatkan penawarannya. Ianya masih lagi boleh dimuat turun melalui Microsoft Store selepas ini. Bagi anda yang kerap menggunakan aplikasi ini pada pemasangan Windows 10 sedia ada, anda juga masih lagi dibenarkan untuk mengekalkannya.
Perisian sampah seperti yang kerap diberikan oleh pengeluar PC seperti HP, Lenovo dan Acer bukanlah sesuatu yang dapat diterima dengan baik oleh kebanyakan pengguna. Cuma, apa yang sedikit mengecewakan adalah apabila ianya datang dari pengeluar sistem operasi itu sendiri.













