Penularan wabak pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan besar terhadap industri pelancongan di Malaysia.

Sesetengahnya mampu bertahan dan ada sesetengah tidak dapat bertahan seperti yang dihadapi oleh Taman Tema Angry Birds Johor Bahru.

Bertempat di KOMTAR JBCC yang berhampiran dengan JB Sentral, Taman Tema Angry Birds mula dibuka pada Oktober 2014. Ianya merupakan taman tema Angry Birds pertama di Asia Tenggara hasil kerjasama antara anak syarikat Johor Corporation, Damansara Assets dengan pencipta Angry Birds, Rovio Entertainment.

Taman aktiviti tertutup berukuran 26,000 kaki persegi ini direka khusus untuk kanak-kanak. Sesuai dengan namanya, taman ini diinspirasikan dari francais permainan Angry Bird. Selain itu, taman tersebut turut menyediakan kedai cenderahati yang menjual barangan rasmi Angry Birds.

Menerusi pengumuman di laman rasmi Facebook, Taman Tema Angry Birds Johor Bahru akan mula ditutup pada 5 April 2021. Memandangkan negeri Johor masih lagi diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mungkin tidak ramai peminat di luar negeri Johor berpeluang melawatinya buat kali terakhir.

Bagi anda yang tinggal berhampiran dan berkesempatan mengunjungi Komtar JBCC, anda boleh singgah ke Taman Tema Angry Birds yang kini menawarkan harga tiket yang lebih rendah. Harga tiket yang ditawarkan kini adalah RM35 bagi kanak-kanak dan RM25 untuk dewasa. Bagi keluarga seramai lima orang, harga tiket pukal ditawarkan adalah RM140.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.