BlackBerry Limited, Global Affairs Canada, dan Rogers Cybersecure Catalyst di Toronto Metropolitan University (“the Catalyst”) hari ini mengumumkan pelancaran Program Kepimpinan Wanita Siber (Women in Cyber Leadership Program). Inisiatif strategik ini direka untuk memajukan profesional keselamatan siber wanita ke dalam peranan kepimpinan di seluruh Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN.

Program intensif lima hari ini dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 30 Januari 2026, di Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber MCMC dan BlackBerry (CCOE) di Cyberjaya, Malaysia. Permohonan untuk kursus ini telah dibuka.

Meningkatkan Penglibatan Wanita di dalam Bidang Keselamatan Siber

Kursus ini akan menghimpunkan profesional wanita peringkat pertengahan merentasi semua sektor untuk membangunkan keupayaan strategik dalam pengurusan risiko siber, rangka kerja tadbir urus, dan kepimpinan eksekutif. Program ini bertujuan untuk membantu menangani cabaran kritikal tenaga kerja di mana peranan wanita masih lagi rendah dalam kepimpinan keselamatan siber.

Ini berlaku meskipun rantau Indo-Pasifik berdepan dengan landskap ancaman digital yang semakin meningkat dan kekurangan modal insan siber. Inisiatif ini juga selaras dengan matlamat Malaysia untuk memupuk kepimpinan yang lebih pelbagai dalam keselamatan siber dan mengukuhkan ekonomi digital serantau.

Menurut Jaclyn Sim, Pengurus Kanan, Latihan Teknikal Keselamatan Siber, BlackBerry, “Ia sungguh menginspirasikan melihat begitu ramai wanita mengambil bahagian dalam latihan kemahiran dan kursus yang diperakui secara global di Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber SKMM dan BlackBerry di Malaysia – tetapi lebih banyak kerja yang perlu dilakukan sebagai sebuah industri untuk mengembangkan peluang untuk wanita dalam peranan kepimpinan siber di seluruh rantau ini .”

Beliau menambah, “Selain meningkatkan daya tahan siber serantau, inisiatif sektor awam-swasta ini yang disampaikan dengan kerjasama Global Affairs Canada dan the Catalyst, boleh membantu membuka pintu bagi wanita untuk memimpin, mempengaruhi, dan membentuk masa depan keselamatan siber.”

Gabung Pembelajaran Praktikal

Kurikulum program ini menggabungkan aplikasi praktikal dengan penerokaan strategik bagi elemen berikut:

  • Analisis ancaman serantau.
  • Teknologi baru muncul termasuk Kecerdasan Buatan (AI).
  • Rangka kerja tadbir urus siber.
  • Komunikasi eksekutif.

Peserta akan terlibat dalam latihan simulasi atas meja, projek kolaboratif, dan acara rangkaian yang dipimpin oleh pakar global dan pemimpin serantau. Program ini diakhiri dengan sijil tamat kursus yang mengiktiraf keupayaan kepimpinan lanjutan.

Charles Finlay, Pengarah Eksekutif Pengasas the Catalyst, berkata, “Keselamatan siber adalah paling kuat apabila orang yang membentuknya mencerminkan komuniti yang dilindunginya, dan amat menggalakkan melihat Malaysia mengambil tindakan proaktif sedemikian untuk mengembangkan tenaga kerja keselamatan siber yang lebih pelbagai dan inklusif .”

Beliau juga menyatakan kebanggaan kerana bekerjasama dengan Global Affairs Canada dan BlackBerry untuk menyokong usaha ini, dan mencipta laluan bagi wanita berbakat di Indo-Pasifik untuk mengejar peranan kepimpinan dalam salah satu sektor yang paling pesat berkembang di dunia.

Kos program dibiayai kerajaan Kanada

Program ‘Women in Cyber’ ini ditawarkan secara percuma kepada peserta-peserta yang terpilih. Pembiayaan disediakan oleh kerajaan Kanada melalui Program Peningkatan Kapasiti Anti-Jenayah dan Membanteras Keganasan. Bursari perjalanan yang meliputi pengangkutan, penginapan, dan makanan tersedia untuk calon ASEAN terpilih yang menetap di luar Malaysia. Kira-kira 40 wanita dari negara anggota ASEAN dijangka akan mengambil bahagian dalam program ini.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini Mark Carney, Perdana Menteri Kanada, mendedahkan Kanada sedang memperluaskan pelaburannya dalam memajukan pembangunan kapasiti keselamatan siber di rantau Indo-Pasifik.

Di bawah inisiatif ini, Global Affairs Canada menyediakan CAD$226,000 (~RM667,426) untuk meningkatkan kemahiran dan melatih 100 profesional kerajaan dan orang awam terpilih dalam peranan pengurusan peringkat pertengahan melalui CCOE SKMMdan BlackBerry di Cyberjaya.

Calon yang berjaya untuk program ‘Women in Cyber’ akan dimaklumkan pada Disember 2025.

Tinggalkan komentar