Belajar bahasa pengaturcaraan bukanlah sesuatu yang mudah. Selain dari beberapa tahap yang perlu dikuasai, menentukan bahasa pengaturcaraan mana yang paling sesuai merupakan salah satu cabaran bagi anda yang ingin mengembangkan kerjaya anda di dalam bidang pengaturcaraan.
Terdapat pelbagai bahasa yang digunakan untuk pelbagai tujuan khusus dan atas sebab itu, pilihan anda bergantung pada kecenderungan minat dan juga permintaan pasaran kerja.
Jika kecenderungan anda adalah pada data dan juga penentuan logik sesebuah bahasa pengaturcaraan tersebut, anda mungkin sesuai mempelajari Python, Java, C, C++ atau C#.
Namun, jika anda lebih cenderung pada rekaan visual dan paparan antaramuka pengguna, TypeScript adalah cabang terbaik untuk anda menumpukan bidang kemahiran anda. Tidak dilupakan, bagi anda yang ingin membangunkan aplikasi mudah alih, anda mungkin boleh melihat pada Java untuk Android, dan juga Swift atau Objective-C untuk Apple iOS.
Gaji bidang ICT mengikut kemahiran bahasa pengaturcaraan
Berdasarkan laporan yang telah dikeluarkan oleh CodingNomads pada Selasa lalu, Python, Java, JavaScript, C, C++ dan C# merupakan bahasa pengaturcaraan paling tinggi permintaannya di Amerika Syarikat dan Eropah. Dapatan data ini adalah berdasarkan hantaran (post) penawaran pekerjaan menerusi platform LinkedIn. Bahasa-bahasa pengaturcaraan lain yang tidak kurang popularitinya pada masa ini termasuklah TypeScript, PHP, Perl dan Ruby.

Analisis purata gaji bagi bahasa pengaturcaraan paling tinggi permintaannya menurut Indeed dan Glassdoor, CodingNomads meletakkan Ruby di tinggi gaji puratanya di Amerika Syarikat iaitu $111,994 (~RM467,742). Gaji purata bagi bahasa pengaturcaraan lain bagi pasaran kerja di Amerika Syarikat adalah seperti berikut:
- Python – $103,540 (~RM432,434)
- JavaScript/TypeScript – $100,492 (~RM419,704)
- Java – $96,786 (~RM404,226)
- C# – $89,203 (~RM372,556)
- PHP – $85,435 (~RM356,819)
- Perl – $83,159 (~RM347,313)
- C – $82,924 (~RM346,332)

TypeScript tidak disenaraikan secara berasingan kerana data gaji puratanya yang terhad. Walaubagaimanapun, CodingNomads menganggap tangga gajinya tidak jauh berbeza dengan gaji purata pekerjaan melibatkan JavaScript.
Harus diingat, angka-angka ini dikira sebagai purata gaji dan bukannya gaji permulaan yang akan diterima pengaturcaraan yang baru menjawat perjawatan berkaitan pekerjaan tersebut. Namun, pengaturcara yang berkemahiran mampu mencapai atau melebihi paras gaji tersebut dalam tempoh beberapa tahun, menurut laporan berkenaan.
Sebagai perbandingan, gaji pokok bagi jawatan pegawai teknologi maklumat (gred F41) di dalam sektor awam di Malaysia bermula dari RM2,315 (bersamaan RM27,780 setahun) sehingga RM9,618 (bersamaan RM115,416 setahun).
Terdapat juga faktor-faktor lain yang perlu diambil kira berkenaan bahasa pengaturcaraan yang sesuai untuk anda belajar, seperti misalnya, peluang pekerjaan, populariti di kalangan penggiat IT tempatan, gaji yang ditawarkan dan juga faktor setempat. Ini boleh diambil kira jika anda bercadang ingin belajar hingga ke peringkat lanjutan.
Bagi anda yang baru ingin belajar, anda boleh juga memilih bahasa pengaturcaraan yang popular atas faktor ianya ‘lebih mesra’ untuk digunakan selain dari sokongan dari komuniti pengguna bahasa pengaturcaraan berkenaan. Sokongan komuniti ini penting terutamanya untuk pengguna yang baru belajar kerana dari sini pengguna akan mudah mendapat tunjuk ajar dan tips dari otai-otai yang sudah lama menggunakannya.
Antara bahasa pengaturcaraan yang boleh dijadikan pilihan anda termasuklah;
Python
Dianggap sebagai bahasa pengaturcaraan ‘kegunaan am’ dan di bahagian pelayan (server-side), kegunaan Python merangkumi dari bahasa pengaturcaraan yang ringkas hinggalah ke aplikasi web lanjutan dan kecerdasan buatan. Bagi pembangun yang berminat dengan sains data atau pembelajaran mesin serta keseluruhan pembangunan perisian dan web, Python adalah bahasa pengaturcaraan terbaik untuk dipelajari.
Hari ini, Python dianggap sebagai salah satu bahasa pengaturcaraan yang paling mudah dan antara yang terbaik untuk bagi anda yang baru mula belajar pengaturcaraan. Dibangunkan oleh Guido van Rossum, bahasa yang mula diterbitkan pada tahun 1991 ini menjadi popular disebabkan kedinamikannya, fleksibel, berorientasikan objek, mempunyai tatacara serta memiliki gaya pengaturcaraan kefungsian.
Dijangkakan, permintaan bagi kemahiran melibatkan Python akan terus meningkat pada 2022 sungguhpun bahasa ini telah wujud sejak 1995. Ia dikaitkan dengan lonjakan permintaan dari sains data, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan, menurut Ryan Desmond, Pengasas Bersama dan Ketua Pengajar di CodingNomads.
Python juga dianggap sebagai salah satu bahasa yang paling mudah dipelajari sungguhpun ia merupakan diantara yang paling versatil dan paling berkuasa. Hal ini menyebabkan ia salah satu bahasa yang paling popular di kalangan syarikat dan pembangun perisian baik yang senior mahupun yang baharu berkecimpung.
Melalui kod-kod yang ringkas dan mudah dibaca, pengaturcara dapat menterjemahkan konsep tanpa perlu menulis kod-kod yang panjang.
Django merupakan kerangka kerja berasaskan web untuk Python yang digunakan untuk pelbagai aplikasi-aplikasi yang penting.
Kegunaan Python: Python digunakan untuk menghasilkan aplikasi desktop dan juga web. Selain itu, ia digunakan di dalam lapangan pembelajaran mesin, pengumpulan data, perkomputeran saintifik dan sebagainya.
Contoh kod Python
# This program prints Hello, world!
print('Hello, world!')
Output
Hello, world!
Java
Bahasa yang malar segar sepanjang zaman dan digunakan secara meluas oleh hampir kebanyakan organisasi di seluruh dunia. Java merupakan bahasa utama di sebelaik Android yang kini menguasai 85% pasaran peranti mudah alih. Ia juga bahasa yang paling popular digunakan pada peranti Internet of Things (IoT).
Java telah dibangunkan oleh James Gosling di Sun Microsystems pada tahun 1994. Hari ini, ia diselenggarakan oleh Oracle. Tujuan utama pada asalnya adalah untuk menghasilkan pelbagai jenis aplikasi dan perisian. Lama kelamaan, bahasa pengaturcaraan ini telah menjadi salah satu bahasa yang paling berpengaruh dan paling solid.
Ia juga merupakan bahasa pengaturcaraan berasaskan pengkelasan dan berorientasikan objek yang diwujudkan untuk kemudahalihan dan aplikasi rentas platform.
Dari segi kaedah mempelajarinya, Java dianggap lebih sukar untuk dipelajari berbanding Python. Namun lebih mudah jika dibandingkan dengan C atau C++. Hal ini kerana Java ditambahbaik dari cabang bahasa C, manakala Python pula ditambahbaik dari Java. Cuma, dari sudut positif, jika anda mampu menguasai Java, mempelajari Python akan menjadi jauh lebih mudah.
Kebanyakan sintaks Java adalah berasaskan C dan C++. Atas sebab itu, kebanyakan jurusan yang menawarkan kursus pengaturcaraan memperkenalkannya selepas pembelajaran C dan C++. Belajar menulis Java memberikan anda asas yang kukuh serta menjadikan anda lebih bersedia menempuh kerjaya pengaturcaraan.
Hadoop merupakan kerangka kerja berasaskan Java popular yang sering digunakan oleh syarikat-syarikat besar.
Kegunaan Java: Java digunakan membina aplikasi Android natif. Ia juga digunakan sebagai bahasa bahagian pelayan (server-side).
C dan C++
Bahasa pengaturcaraan C dan C++ adalah bahasa pengaturcaraan yang sering menjadi subjek bagi jurusan-jurusan berkaitan teknologi informasi dan komputer sejak sekian lama. C masih lagi popular sebagai bahasa pengaturcaraan ‘kegunaan umum’ dan ianya telah mempengaruhi kewujudan bahasa pengaturcaraan lain terutamanya C++.
Sungguhpun C dianggap lebih kompleks berbanding bahasa pengaturcaraan yang lain, ia adalah bahasa paling fundamental di dalam sains komputer. Belajar menggunakannya menjadikan asas anda lebih teguh.
Untuk C++ pula, ia berasaskan C tetapi lebih ‘advance’ dan menawarkan pengaturcaraan berasaskan objek. Ia juga merupakan diantara bahasa yang penting di dalam pengaturcaraan.
Kegunaan C dan C++: Bahasa ini sering digunakan untuk membangunkan perisian, sistem operasi, aplikasi desktop, aplikasi mudah alih, aplikasi web, permainan, enjin permainan dan sebagainya.
JavaScript
JavaScript dianggap sebagai bahasa untuk web dan ia tidak sama dengan Java. Kegunaan utamanya adalah bahasa penskripan sebelah pelanggan yang digunakan untuk pembangunan bahagian depan. Mempelajarinya boleh dikatakan agak mudah, namun ia tidak semudah mempelajari Python dan Ruby on Rails.
Digunakan pada lebih dari 97% laman web di seluruh dunia, JavaScripts membolehkan anda menetapkan dinamika dan tahap interaktif sesebuah laman web, Serta grafik animasi dan juga fungsi-fungsi kompleks yang lain. Ia juga merupakan bahasa pengaturcaraan yang paling popular disumbangkan di dalam GitHub.
Sintaks JavaScript adalah sama dengan C. Oleh sebab sifatnya yang rentas platform, ia merupakan diantara bahasa pengaturcaraan yang popular. Ia juga disokong oleh semua jenis pelayar web.
Tidak seperti bahasa-bahasa lain di dalam laporan tersebut, JavaScript digunakan dalam kebanyakan masa sebagai bahasa di bahagian klien (client-side) yang dijana di dalam sesebuah pelayar web.
Bagaimanapun, bahasa tersebut kian kerap digunakan pada bahagian pelayan (server-side) dengan platform masa-jalan (run-time) berasaskan kerangka kerja (framework) seperti Node.js dan Vue.
Secara keseluruhannya, Javascript merupakan bahasa yang terbaik untuk dipelajari bagi anda yang menikmati pengaturcaraan reka bentuk visual dan antaramuka pengguna.
JavaScript juga sering digunakan bersama-sama ‘perpustakaan’ seperti JQuery dan kerangka kerja seperti React dan AngularJS.
Kegunaan JavaScript: Ia digunakan untuk pembangunan web dan boleh digunakan pada kebanyakan pelayar web moden hari ini. Ia juga boleh digunakan untuk pembangunan aplikasi mudah alih dan aplikasi web.
Contoh kod pengaturcaraan JavaScript
Terdapat tiga cara mencetak ‘Hello, World!’ di dalam JavaScript iaitu:
console.log()
alert()
document.write()
Menggunakan console.log()
console.log()
digunakan untuk menyahpepijat (debug) sesebuah kod.
Contoh kod sumber:
// the hello world program
console.log('Hello World');
Output
Hello, World!
Nota: Baris pertama merupakan komen untuk baris kod berkenaan. Baris kedua pula akan mencetak (print) baris ‘Hello, World!’ ke dalam konsol.
Menggunakan alert()
Kaedah alert() akan memaparkan kotak peringatan di atas tetingkap yang sedang dibuka dengan mesej tertentu.
Contoh kod sumber:
// the hello world program
alert("Hello, World!");
alert("Hello, World!");
Menggunakan document.write()
document.write() digunakan apabila anda ingin mencetak (print) sesebuah kandungan tersebut ke dalam dokumen HTML.
Contoh kod sumber:
// the hello world program
document.write(‘Hello, World!’);
PHP
Satu lagi bahasa pengaturcaraan yang tidak kurang popularnya pada masa kini. PHP merupakan bahasa penskripan pelayan dan amat berguna untuk menjadikan sesebuah laman web menjadi dinamik dan interaktif.
PHP, atau singkatan kepada Hypertext Preprocessor digunakan secara meluas di seluruh dunia kerana ia percuma dan alternatif yang bagus dari Microsoft ASP. Ia dibangunkan pertama kali sekitar tahun 1994 oleh Rasmus Lerdorf dengan tujuan menjejaki sesiapa yang melihat resume dalam talian beliau sendiri.
Versi terkini PHP adalah PHP 8 yang diterbitkan pada 26 November 2020 dengan membawakan pelbagai penambahbaikan baharu yang melibatkan sintaksnya.
Faktor fleksibiliti serta keupayaannya yang tinggi membolehkan ia digunakan untuk membangunkan kebanyakan kerangka kerja popular seperti Laravel, dan CMS seperti Joomla! dan WordPress. Malah, kebanyakan platform-platform sosial media juga dibina menggunakan PHP.
Contoh kod PHP:
<?php
echo 'Hello, World!';
?>
Ruby
Ruby merupakan bahasa pengaturcaraan pelbagai guna yang dinamik. Ia direka dan dibangunkan oleh Yukihiro Matsumoto dan diterbitkan pertama kali pada tahun 1995. Bahasa pengaturcaraan ini menyokong pengaturcaraan paradigma pelbagai, termasuklah berorientasikan objek, berbentuk kefungsian (functional) dan juga berbentuk perintah (imperative).
Sama seperti Python, Ruby adalah ringkas dan mudah dibaca. Ia juga mendapat sokongan padu dari komunitinya yang banyak membantu para pembangun tidak mengira sama ada yang baru atau lama untuk berkongsi pendapat. Ia seringkali digunakan untuk membangunkan laman web, aplikasi berasaskan web dan aplikasi mudah alih.
Ruby on Rails merupakan kerangka kerja berasaskan web untuk Ruby. Sesetengah syarikat-syarikat permulaan (startups) turut menawarkan peluang pekerjaan yang mengkhususkan kemahiran berdasarkan penggunaan rangka kerja Ruby on Rails.
Kegunaan Ruby: Seperti yang dinyatakan di atas tadi, Ruby on Rails digunakan untuk menghasilkan aplikasi-aplikasi web. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk membuat blog.
SQL
Salah satu bahasa popular yang dinyatakan di dalam laporan berkenaan tetapi tidak menghuni kedudukan 10 teratas bahasa pengaturcaraan paling popular. SQL lebih berperanan sebagai bahasa kuiri berbanding bahasa pengaturcaraan.
Tidak kira apa jua bahasa pengaturcaraan yang anda pilih, anda biasanya akan menggunakan SQL untuk ‘bercakap’ dengan pangkalan data (database). Oleh itu, mempelajarinya adalah langkah penting bagi mana-mana pembangun perisian.
Kesimpulan
Mempelajari ilmu pengetahuan amat penting dalam kita mencapai kemajuan hidup diri, keluarga dan masyarakat kita secara amnya.
Untuk anda yang baharu menceburi bidang ilmu ini, sebaiknya anda boleh memantapkan sesebuah bahasa pengaturcaraan terlebih dahulu sebelum cuba meneroka ke bahasa lain. Tidak salah untuk anda mempelajari lebih dari satu bahasa secara serentak, akan tetapi perjalanan untuk memahirkannya akan memakan masa yang lebih panjang.
Assalamualaikum ada artikel dlm bn berkenaan Angular x tuan
informasi yang berkesan