Utama Komputer Permainan ASUS perkenalkan ROG Ally, Konsol Permainan PC ‘Handheld’ bakal saingi Steam Deck

ASUS perkenalkan ROG Ally, Konsol Permainan PC ‘Handheld’ bakal saingi Steam Deck

559
0
ASUS ROG Ally Review

ASUS baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah peranti konsol permainan PC boleh pegang (handheld) ASUS ROG Ally menerusi sebuah video yang dikongsikan melalui laman media sosial rasminya.

Bagaimanapun, tarikh ia diumumkan tersebut yang kebetulan sama dengan April Fools membuatkan kebanyakan pengguna menganggap ia sebagai gurauan semata-mata. Namun, berdasarkan perkembangan terkini ia mungkin bukanlah satu gurauan dan tidak mustahil ia benar-benar akan dilancarkan kelak.

Pihak ASUS telah mengesahkan mengenai peranti tersebut menerusi perkongsiannya di Twitter. Pembeli yang berminat boleh mendaftar melalui Best Buy, platform pembelian dalam talian berpangkalan di Amerika Syarikat. Cuma, tarikh pelancaran, harga dan perincian spesifikasinya masih lagi belum diumumkan.

Menurut ASUS, ROG Ally akan menggunakan sistem operasi Windows 11 dengan APU AMD Ryzen tersuai. Berkemungkinan ia dihasilkan khusus oleh AMD seperti cipset Aerith untuk Steam Deck.

Skrinnya pula berukuran 7-inci bernisbah 16:9 dengan resolusi 1920 x 1080 bersama-sama tahap kecerahan maksimum 500 nits dan kadar penyegaran semula 120Hz.

Di atas kertas ia menawarkan spesifikasi yang lebih baik berbanding Steam Deck yang juga mempunyai skrin 7-inci, nisbah 16:10, resolusi 1280 x 800, kecerahan 400 nits dan kadar penyegaran semula 60Hz. Malah, pemprosesan yang digunakan juga lebih berkuasa melalui senibina AMD Zen 4 dengan teknologi grafik RDNA 3 yang turut digunakan pada GPU terkini keluaran AMD.ASUS-ROG-Ally-2

Linus Tech Tips juga berkongsikan video pandang pertama unit prototaip ASUS ROG Ally. Menurut beliau, peranti berkenaan didapati lebih senyap ketika dimainkan berbanding Steam Deck. Komponen lain seperti SSD dan juga kayu rianya juga mudah untuk ditukar ganti.

Bateri dan penggunaan Windows 11

Cuma untuk ketahanan baterinya mungkin mendatangkan banyak tanda tanya. Ini kerana selain mempunyai resolusi, kadar penyegaran semula dan kuasa pemprosesan yang lebih tinggi, penggunaan sistem operasi Windows 11 juga memberikan keraguan dari segi kecekapan penggunaan tenaganya berbanding SteamOS.

Untuk papan pemuka kawalannya, ASUS ROG Ally mempunyai butang kawalan fizikal standard seperti dua kayu ria analog, butang D-pad sebelah kiri dan empat butang input, bersama beberapa butang-butang kecil di sekeliling skrin untuk akses ke menu dan tetapan.

Berdasarkan keupayaan teknologi semasa, peranti konsol permainan PC boleh pegang seperti ASUS ROG Ally ini tidak mustahil untuk dilancarkan dalam masa yang terdekat ini. Cuma, jika benar ia dilancarkan kelak, tidak pasti berapa lama ia akan hadir ke pasaran Malaysia secara rasmi.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.