Astro telah memperkenalkan alat kawalan jauh baharu untuk Astro Ultra Box yang menampilkan butang khas untuk Netflix. Alat kawalan jauh ini turut menampilkan rekaan dan tatasusunan baharu.
Sebagaimana yang telah kita ketahui, Astro secara rasminya telah mengumumkan usahasama dengan Netflix pada Jun lalu.
Bagaimanapun, pengguna Astro masih lagi belum dapat mengakses secara terus ke platform berkenaan buat masa ini. Integrasi di antara Netflix dan Astro pada ketika ini masih lagi belum disediakan. Oleh itu, butang berkenaan masih lagi belum berfungsi.
Sebaik sahaja proses integrasi berkenaan selesai, butang berkenaan akan membolehkan pengguna membuka aplikasi Netflix di dalam Astro Ultra Box dengan mudah. Selain itu, alat kawalan jauh baharu ini juga memperkenalkan butang khas untuk Movies, Sports dan Apps.
Bercakap mengenai butang Apps, ia juga akan menyediakan pengguna akses ke App Hub yang akan hadir ke Ultra Box tidak berapa lama lagi. Menurut Astro, hab berkenaan merupakan tempat untuk anda melihat dan menggunakan aplikasi anda di dalam Ultra Box. Butang yang sama ini juga terdapat pada alat kawalan jauh Astro Ulti Box.
Selain butang Movies dan Sports, butang Store juga turut diperkenalkan pada alat kawalan jauh baharu ini. Perkembangan baharu ini dilihat sebagai usaha Astro untuk memperkenalkan rekaan baharu alat kawalan jauh Ultra Box dan Ulti Box.
Bagi pengguna Ultra sedia ada, pengenalan alat kawalan jauh baharu ini tidak akan memberi kesan terhadap alat kawalan jauh sedia dan antara muka paparan anda. Buat masa ini, alat kawalan jauh ini hanya ditawarkan kepada pengguna dengan unit baharu sahaja.