Astro akan menghentikan penyiaran saluran linear HBO di platformnya bermula 1 Mac 2026. Perkembangan ini berikutan perubahan model perkongsian dengan Warner Bros. Discovery.

Pelanggan yang ingin terus menonton kandungan HBO perlu melanggan aplikasi HBO Max secara berasingan, dengan harga bermula dari RM24.90 sebulan.

Perubahan Saluran HBO

Bermula 1 Mac 2026, saluran HBO HD, Cinemax HD, HBO Family, dan HBO Hits tidak lagi tersedia di Astro. Pelanggan sedia ada yang sudah melanggan HBO Max sebagai tambahan tidak akan terjejas.

Bagaimanapun mereka yang menggunakan pakej gabungan perlu memilih langganan berasingan jika mahu terus mengakses kandungan HBO Originals, filem-filem, dan siri-siri eksklusif.

Astro menyatakan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menyelaraskan penawaran kandungannya di bawah pengalaman Astro One, sambil mengekalkan akses kepada hiburan premium melalui aplikasi penstriman bersepadu .

Empat Saluran Baharu

Bagi mengimbangi ketiadaan saluran HBO, Astro akan memperkenalkan empat saluran baharu yang memperkukuh tawaran Movies dan Astro One Epic Pack.

Berikut adalah saluran-saluran baharu tersebut:

  • Astro Showtime (CH 411): Menampilkan filem-filem blockbuster Hollywood termasuk Violent Night, Jurassic World Dominion, Beast, dan Snow White and the Huntsman.
  • Rock Action (CH 414): Memberi tumpuan kepada filem aksi berimpak maksima dengan tajuk seperti Miami Vice, trilogi Rambo, Godzilla Minus One, Ghostbusters, dan Captain Phillips.
  • Rock X Stream (CH 415): Mensasarkan peminat televisyen premium dengan siri seperti See, Mr. Robot, Black Sails, dan Nine Bodies in a Mexican Morgue, bertujuan mereplikasi daya tarikan kandungan penstriman berkualiti tinggi dalam format linear yang dikurasi.
  • Astro FAM Time (CH 412): Akan dilancarkan pada 1 April 2026 dengan tumpuan kepada program mesra keluarga, termasuk Puss in Boots: The Last Wish, Minions: The Rise of Gru, dan Johnny English Reborn.

Kandungan Tambahan

Pelanggan Movies dan Astro One Epic Pack akan terus menerima akses kepada Prime Video dan Disney+ tanpa kos tambahan. Akses tersebut juga kekal bersama saluran sedia ada seperti HITS Movies HD (CH 401) dan Astro Showcase (CH 413).

Perubahan ini menandakan peralihan Astro daripada saluran linear tradisional kepada model penstriman aplikasi bagi kandungan HBO. Dalam pada masa yang sama mengembangkan katalog kandungan dalaman dan berlesen melalui pengenalan empat saluran baharu.

Pelanggan yang ingin mengekalkan akses kepada kandungan HBO boleh melanggan HBO Max secara berasingan sebelum 1 Mac 2026.

Tinggalkan komentar