Apple telah menimbulkan sedikit kegusaran apabila mengumumkan App Tracking Transparency baru-baru ini. Ia bertujuan memberikan pilihan kepada pengguna sama ada untuk membenarkan atau tidak membenarkan aplikasi menjejak aktiviti pengguna untuk kegunaan pengiklanan.
Langkah ini dilihat sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana iklan merupakan sebahagian dari pengalaman menggunakan internet walaupun sesetengah pengguna tidak menyukainya. Tambahan pula, agak ironik kerana pengeluar iPhone ini juga telah mula merancang untuk menunjukkan lebih banyak iklan kepada pengguna melalui aplikasi yang dipra-pasangnya.
Menurut Mark Gurman dari Bloomberg, Apple telah mula membuat pengujian secara dalaman menambah iklan ke dalam Apple Maps. Untuk itu, peniaga makanan setempat misalnya boleh membayar Apple untuk disenaraikan lebih tinggi dari pesaing apabila carian yang relevan dibuat.
Misalnya jika pengguna menaip perkataan sushi, restoran yang membayar untuk iklan tersebut akan diletakkan lebih tinggi dari kedai-kedai makan lain. Begitu juga pada aplikasi Books dan Podcasts, di mana penerbit perlu membayar untuk menaikkan nama di dalam senarai carian, atau untuk memaparkannya di dalam aplikasi.
Bukan itu sahaja, Mark Gurman juga menjangkakan ciri yang sama akan diperkenalkan pada Apple TV Plus. Hal ini kerana pesaingnya seperti Disney Plus dan Netflix juga akan memperkenalkan pelan langganan berharga lebih rendah yang didatangkan bersama-sama iklan.
Tindakan Apple ini menimbulkan tanda tanya kerana Apple sebelum ini dilihat sebagai sering mengutamakan privasi pengguna berbanding pesaing-pesaingnya di dalam teknologi.













