Sebulan selepas iPhone 14 Plus mula dijual, model dengan skrin yang lebih besar ini dilaporkan tidak mencapai jumlah jualan yang memberangsangkan. Rentetan dari itu, Apple telah mengurangkan pengeluarannya lebih kurang dua minggu selepas pelancarannya.

Terkini, pakar analisis teknologi Ross Young menyatakan Apple akan berhenti menerima bekalan skrin untuk iPhone 14 Plus bermula pada bulan hadapan. Faktor utama pengeluaran ini dikurangkan adalah disebabkan oleh permintaan yang merosot.

Permintaan bagaimanapun lebih ketara bagi model iPhone 14 Pro dan Pro Max yang turut menyebabkan harga purata jualannya di pasaran meningkat sehingga 10%. Model-model yang lebih mahal ini juga membawa 64% dari jualan keseluruhan model-model iPhone 14. Kesan dari permintaan yang tinggi untuk model Pro ini telah mengakibatkan waktu untuk pengguna menerima pesanan semakin panjang.

Oleh kerana kurangnya permintaan untuk iPhone 14 Plus, model 128GB berkenaan telah ditawarkan pada harga diskaun RM4,499, potongan sebanyak RM550 ketika jualan 11.11  baru-baru ini.

Tinggalkan komentar