Apple telah memasarkan lebih banyak telefon pintar berbanding pengeluar lain pada suku ke-4 2020, menurut laporan Gartner baru-baru ini.

Sebanyak 80 juta unit telah dikeluarkan dalam tempoh berkenaan, mengatasi kesemua pengeluar lain termasuk Samsung. Perkembangan ini merupakan pertama kali berlaku sejak 2016.

Menurut Gartner, faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah disebabkan oleh siri iPhone 12. Ianya mempunyai tarikan tersendiri terutamanya pada keupayaan 5G dan juga rekaan terbarunya.

Jumlah jualan ini turut menunjukkan Apple sedikit sebanyak telah berjaya mengharungi saat getir pandemik berbanding pengeluar lain.

Laporan dari IDC bulan lepas pula menyatakan Apple telah mengeluarkan sebanyak 90.1 juta pada suku ke-4 2020. Jumlah tersebut merupakan yang tertinggi di antara pengeluar-pengeluar telefon pintar.

Apple tidak melaporkan unit jualan bagi setiap perantinya. Bagaimanapun, pihaknya menyatakan keuntungan hasil jualan iPhone meningkat kepada 17% pada tempoh berkenaan.

Tambahan pula, turun naik perniagaan Apple adalah bermusim dan kebiasaannya hasil jualan perantinya meningkat mendadak dalam tempoh tersebut.

Pengeluaran telefon pintar secara keseluruhannya di peringkat global telah merosot sebanyak 5.4% pada tahun 2020. Sungguhpun jualan Apple meningkat sebanyak 3.3%, Samsung masih lagi menjadi pengeluar terbesar sepanjang tahun lepas.

Kemerosotan pengeluaran terbesar dialami oleh Huawei yang menyaksikan bilangan jualannya menurun sebanyak 24.1% pada 2020. Hal ini berpunca dari sekatan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Huawei.

Samsung yang tidak berhadapan dengan tindakan sekatan bagaimanapun, turut mengalami kemerosotan pengeluaran sebanyak 14.6% pada tahun lepas.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.