Sungguhpun cip pemprosesan AMD Ryzen 7 1800X baru sahaja hadir ke pasaran sesetengah negara, kini terdapat sebilangan penggemar overclock perkakasan telah mula melakukan overclock terhadap cip pemprosesan terbabit hingga telah berjaya memecahkan rekod dunia. Seorang peminat overclock dari Jerman, Der8auer telah berjaya memecahkan rekod frekuensi Ryzen melalui model 1800X miliknya.
Rekod 5.8 GHz berkenaan berjaya dicapai melalui sokongan sistem penyejukan nitrogen cecair dengan voltan setinggi 1.97v, seterusnya menjadikan beliau pemegang rekod frekuensi tertinggi di dunia pada HWBot.com.
Perkakasan yang digunakan untuk membantu mencapai rekod tersebut termasuklah papan induk Asus Crosshair VI Hero dan RAM DDR4 CL II 16GB 2400MHz.
Dalam satu perkembangan yang berasingan berkaitan overclock AMD Ryzen 7 1800X, satu lagi rekod dunia telah berjaya dileburkan pada 5.36GHz. Kali ini menggunakan penanda aras Cinebench R15 dan ia dijalankan oleh seorang peminat overclock dari Sweden yang dikenali sebagai Elmor. Catatan yang diperolehnya berjaya mendapatkan 2454 mata, beza kelebihan 9 mata berbanding yang dicatatkan oleh cip pemprosesan Intel Core i7 5960X yang dibuat overclock sehingga 6GHz yang juga melalui penanda aras Cinebench R15 sebelum ini.
Namun paling menakjubkan, walaupun Ryzen yang dioverclock berkenaan kurang frekuensinya berbanding i7 5960X, dari segi prestasi, pemproses AMD tersebut telah pun mengatasi pesaingnya dari Intel itu. Tambahan pula, i7 5960X mempunyai kelebihan ruang bas memori yang lebih besar, iaitu empat saluran DDR4, berbanding Ryzen yang hanya mempunyai dua saluran sahaja.
Para pengeluar papan induk sekarang ini sedang giat mengusahakan penambahan pada profil BIOS masing-masing bagi memurnikan ketersediaan memori dan membersihkan segala pepijat. Mungkin kita akan dapat melihat sejauh mana para peminat overclock menguji had keupayaan Ryzen sebaik sahaja ekosistem papan induk ini telah mencapai tahap kematangannya.
Good info, walaupun tak berapa paham bidang ICT ni..