Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan satu rangka Akta Keselamatan Siber akan diwujudkan secepat mungkin. Keputusan tersebut dibuat oleh Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia bagi memastikan kesemua aspek perundangan yang relevan dapat dimuktamadkan.
Menurut Bernama, Perdana Menteri menegaskan tiada sebarang kompromi dalam menguruskan keselamatan negara termasuk di dalam dunia digital dan juga ekosistem siber.
Untuk merealisasikan hasrat tersebut, Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertanggungjawab menerajui usaha menggembleng bersama-sama seluruh jabatan dan kementerian kerajaan.
Perdana Menteri menjelaskan cadangan Akta Keselamatan Siber berkenaan akan disediakan oleh NACSA dengan penguatkuasaan dan undang-undang yang jelas berkaitan dengannya. Ia juga akan meningkatkan kecekapan fungsi agensi tersebut.
Tambah beliau lagi, Malaysia perlu mendepani cabaran era digital yang memerlukan kesiapsagaan di peringkat tertinggi dalam gerak kerja kerajaan apabila menangani ancaman siber.
Keutamaan tersebut bukan sahaja terhad di dalam negara, bahkan melibatkan peringkat global memandangkan ruang siber dan komunikasi digital menjadi sebahagian dari kehidupan harian kita.













