Masalah kehabisan bekalan kuasa bateri adalah sesuatu yang tidak yang lumrah buat pengguna laptop. Ianya boleh berlaku apabila berlaku insiden yang tidak dapat dielakkan seperti tertinggal adapter ataupun kekurangan soket elektrik di satu-satu tempat. Oleh itu, amat penting bagi kita menggunakan tenaga bateri laptop seoptimum mungkin dalam situasi-situasi kecemasan tertentu.
Langkah-langkah penjimatan bateri laptop ini terbahagi kepada dua, iaitu langkah jangka pendek dan langkah jangka panjang.
Isi Kandungan
Langkah penjimatan bateri jangka pendek
Cara ini boleh dilakukan apabila anda berada di dalam situasi yang benar-benar terdesak yang hanya bergantung kepada bekalan kuasa bateri laptop semata-mata tanpa sebarang alternatif mendapatkan bekalan elektrik.
1. Mengaktifkan Eco Mode atau Battery Saver Mode pada laptop anda.
Teknik ini adalah yang paling mudah dilakukan kerana kebanyakan laptop pada masa kini sudah sedia memiliki tetapan ini. Mod ini akan secara automatik akan memindahkan profail pengguna kepada profail yang lebih menjimatkan penggunaan bateri seperti mengurangkan kecerahan skrin laptop dan lain-lain.
Bagaimanapun, dalam mod ini anda masih lagi perlu mengubah tetapan-tetapan lain secara manual jika benar-benar inginkan lebih penjimatan. Ini membawakan kita kepada panduan yang seterusnya.
2. Mematikan fungsi dan sambungan yang tidak digunakan
Cara paling mudah untuk mengurangkan penggunaan tenaga adalah dengan mematikan komponen-komponen pada laptop anda yang tidak digunakan pada ketika itu. Anda boleh memulakan dengan menanggalkan sebarang sambungan USB ke laptop anda seperti external hardisk dan tetikus. Pengguna tenaga yang paling besar seperti sambungan Wifi dan Bluetooth juga perlu dihentikan buat sementara waktu.
Untuk mematikan komponen-komponen di dalam sistem operasi Windows, anda perlu pergi ke Control Panel dan carikan Device Manager. Disini anda akan mempunyai pilihan sama ada ingin mengekalkan ianya hidup atau ingin mematikan sebarang komponen yang anda rasakan tidak diperlukan buat sementara waktu.
Untuk mematikan fungsi Wifi dan Bluetooth, kebanyakan laptop hari ini mempunyai butang fungsi tersebut pada luaran laptop. Anda hanya perlu menekan butang-butang tersebut jika ingin menghdupkan atau mematikannya.
3. Selaraskan tetapan anda
Walau sejauh mana anda ingin menjimatkan tenaga bateri, anda masih lagi perlu menggunakan paparan skrin dan juga papan kekunci. Antara yang sering kita terlepas pandang adalah backlighting pada papan kekunci. Backlighting amat berguna jika kita menaip di tempat yang gelap. Jika kita menggunakannya di dalam keadaan yang agak terang, anda mungkin perlu mematikan fungsi ini.
Kecerahan paparan skrin juga perlu dikurangkan tahapnya. Kita tidak perlu menaikkan hingga 100 peratus kerana pada tahap 50 peratus pun sudah memadai untuk kita melakukan tugasan-tugasan pada laptop kita itu.
Selain itu, resolusi juga perlu dikurangkan kerana jika anda sekadar menaip, anda tidak perlu pun keterperincian sehingga 1080p dan ke atas. Memadai tetapan biasa yang sekadar ianya boleh dibaca.
4. Matikan apps dan processes yang tidak perlu
Penggunaan tenaga yang berlebihan bukan hanya pada perkakasan sahaja. Malahan, apps dan perisian juga turut memainkan peranan yang agak besar dalam penggunaan tenaga laptop.
Cara mudah untuk mengesan apps-apps dan sedang berjalan pada latar belakang laptop adalah dengan melihat ikon-ikon yang muncul di sebelah jam dan tarikh pada penjuru kanan bawah laptop.
Anda boleh mematikan process dan apps yang tidak perlu ini dengan menggunakan Task Manager. Gunakan kombinasi butang Ctrl+Alt+Del untuk mengeluarkan tetingkap Task Manager.
5. Ringkaskan tugasan anda
Anda sebagai pengguna juga perlu bijak dalam menguruskan tugasan pada laptop anda. Tetingkap-tetingkap yang tidak digunakan perlu ditutup dan anda hanya perlu membuka tetingkap-tetingkap yang berkaitan dengan tugasan anda sahaja.
Aplikasi dan program yang tidak mendesak keperluannya seperti Spotify perlulah ditutup buat sementara waktu memandangkan kepentingan untuk menjimatkan bateri adalah lebih penting disaat-saat kecemasan.
Langkah penjimatan bateri jangka panjang
Langkah ini mampu menjadikan laptop anda menggunakan tenaga dengan lebih efisien selain mampu memanjangkan jangka hayat penggunaan bateri anda sebelum ianya boleh digantikan dengan baru.
6. Penjagaan dan pengurusan bateri
Paling asas dalam menjaga bateri adalah dengan memastikan pada bahagian contacts berada dalam keadaan sempurna. Anda boleh mencuci bahagian contacts bateri laptop dengan menggunakan putik kapas yang dicelup dengan larutan alkohol. Jika bahagian tersebut rosak teruk, anda perlu menggantikannya dengan bateri baru memandangkan kos untuk membaikinya tidak setimpal dengan kos penggantiannya.
Jika dahulu, anda mungkin biasa dengar tips penjagaan bateri yang melarang anda mengecas lebih dari 80 peratus dan membiarkan adapter terus bersambung selepas bateri penuh. Nasihat ini memang ada kebenarannya, namun ianya hanya sesuai untuk bateri jenis lama yang menggunakan nickel metal hydride (NiMH). Bateri laptop yang dijual di pasaran hari ini menggunakan lithium-ion atau lithium polymer, dan bateri jenis ini tidak kisah dengan cara macam mana anda mengecaskannya.
Selain itu, faktor haba dan pemanasan bateri turut memberi kesan terhadap jangka hayat bateri. Masalah utama pengumpulan haba pada bateri laptop adalah atas sebab rekaan kebanyakan laptop itu sendiri. Hal ini tidak dapat dielakkan memandangkan para pengeluar mungkin sengaja membuatkannya tidak tahan lama supaya pengguna akan segera menggantikan dengan model lain mereka yang baharu. Apa yang pengguna boleh lakukan hanyalah menjaga kebersihan laptop dari sebarang pembentukan habuk pada ruang pengudaraan laptop.
7. Penalaan
Kerja-kerja penyelenggaraan dan penalaan (tune) sistem laptop turut memanjangkan jangka hayat bateri selain meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga. Paling utama yang perlu diambil berat adalah hardisk laptop itu sendiri.
Defragment perlu dilakukan pada hardisk supaya dapat mempertingkatkan kecekapan pemerolehan data di dalam sistem. Pemerolehan data yang lebih cekap menjadikan penggunaan tenaga juga lebih efisien.
Namun begitu, kerja-kerja defragment hanya terhad kepada hardisk biasa yang berfungsi secara mekanikal. Anda tidak boleh melakukannya pada hardisk jenis solid state drive. Hal ini kerana, melakukan defragment pada solid-state-drive dapat memendekkan jangka hayat hardisk tersebut.
Anda juga perlu menjadikan amalan ‘laptop bersih’ sebagai satu tabiat untuk memanjangkan jangka hayat laptop anda. Pastikan program-program yang tidak diperlukan dibuang dan pastikan laptop anda bebas dari sebagai jangkitan anasir jahat seperti virus, malware, adware dan sebagainya.
8. Naik taraf komponen
Menggantikan hardisk biasa dengan solid-state-drive dapat menjimatkan penggunaan tenaga laptop secara keseluruhannya. Berdasarkan teori, solid-state-drive tidak memiliki komponen fizikal seperti kebiasaan hardisk mekanikal biasa yang diperoleh dipasaran. Oleh itu, ia tidak menggunakan jumlah tenaga yang besar seperti mana hardisk biasa.
Selain itu juga, ianya jauh lebih pantas berbanding hardisk biasa dalam menjalankan sistem operasi dan juga perisian-perisian lain yang dipasangkan ke dalamnya.
Anda juga perlu tahu bahawa dengan menambahkan bilangan RAM pada laptop, anda turut menjimatkan penggunaan tenaga pada laptop selain dari meningkatkan prestasi. Ini disebabkan pertambahan bilangan RAM menjadikan proses yang dijalankan pada hardisk menjadi berkurangan kerana lebih banyak proses boleh dibawa masuk ke dalam RAM.
9. Bateri simpanan
Benda mudah macam ni mungkin saya tak perlu perjelaskan lebih lanjut. Apabila anda membawa lebihan bateri laptop, anda tentu boleh rileks sikit dalam menyiapkan tugasan-tugasan yang menggunakan laptop.
Untuk sesetengah model laptop, terdapat model baterinya boleh dicaskan menggunakan pek kuasa external. Ianya serupa set pengecas bateri yang biasa kita gunakan untuk mengecas kamera. Bagaimanapun, pek ini tergolong di dalam aksesori yang memerlukan kita membelinya secara berasingan.
Kesimpulan
Diharapkan, panduan yang dikongsikan bersama di dalam entri ini mampu memberikan manfaat buat anda sebagai pengguna laptop. Sebarang pandangan dan cadangan boleh dikongsikan bersama melalui ruangan komen di bawah ini.
Canggih betul saya baca entri orang pakar IT. Setakat yang saya tahu, ex-roommate saya masa saya belajar Masters di UKM ialah pelajar kejuteraan elektrik, dia bagi tahu saya, cara nak jimatkan bateri (termasuk elektrik) jangan guna screen saver.
Kakak jaaaarang dah sekarang menggunakan laptop. Tapi anak-anak kakak masih gunakannya. Mudah nak dibawa kesana-sini. Sepatutnya kena alert bab kehabisan batteri. Kakak rasa saranan dlm entri ini memang baik utk dijadikan panduan. Betul tu.. kadang kita tak sedar tapi ianya membantu banyak hal sebenarnya.
Tips yang sangat berguna 🙂
wording “Penalaan” tu.. baru ni dengarnya… huhh.. nampak sangat kurang membacanye hee
Kata dasarnya ialah “tala”. Perkataan ‘tala” orang biasa guna termasuk dalam percakapan harian.
bateri lap top saya dah lama ‘kong’…. nak on laptop kena pakai plug jugak..hehe
Menambah RAM tu satu yg sgt bagus utk dijadikan panduan.. T kasih atas perkongsian tips ini.. 🙂
Terima kasih tips nya..penting ni esp kalau terlupa nak bawak charger
panjang sungguh info ini bro…memang banyak panduan yang cukup berguna..
benar, kena ada satu bateri simpanan lagi, bateri sedia ada ni dah nak kong.
klu berada di luar , perlu ada bateri simpanan .
kalau main game selalu..
memang cepat la habis baterinya. hehe..