Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah mengumumkan Pangkalan Data Utama (PADU) akan menawarkan beberapa cenderahati untuk 3,000 pengguna terawal yang mendaftar akaun PADU. Pangkalan data berpusat kebangsaaan yang baharu dibangunkan ini akan dibuka pendaftarannya pada 2 Januari 2024.
Apa itu PADU?
PADU bertujuan menggabungkan kesemua data dari pelbagai agensi kerajaan ke dalam satu pangkalan data berpusat. Menerusi PADU, pihak kerajaan yakin dapat melihat gambaran yang lebih jelas berkenaan pendapatan isi rumah di Malaysia. Ia juga boleh digunakan untuk pemberian subsidi yang lebih berkesan selain dapat merangka dasar yang lebih baik di masa hadapan.
Apabila melog masuk ke dalam PADU, pengguna akan melihat terdapat lebih dari 270 medan data di dalam sistem. Selain dari maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor MyKad, dan usia, anda juga boleh melihat maklumat berkaitan seperti tanggungan, pendapatan, kenderaan dan banyak lagi.
Ini bermakna, pengguna sudah mempunyai maklumat yang sedia ada dan perlu mengesahkan atau mengemaskini maklumat yang dikumpulkan dari pelbagai agensi-agensi kerajaan. Pengesahan dan pengemaskinian maklumat tersebut perlu dilakukan sehingga 31 Mac 2024 nanti.
Rafizi juga menyatakan PADU dibangunkan secara dalaman (in-house) oleh penjawat awam skim teknologi maklumat (Skim F) dari Kementerian Ekonomi, Jabatan Statistik Malaysia, dan Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Pelaksanaan pembangunan PADU dijalankan selama tujuh bulan, tambah Rafizi lagi.
Seramai 3,000 pengguna terawal yang mendaftar akaun PADU akan menerima kad NFC Touch ‘n Go secara percuma selain turut menerima diskaun Mydin. Walaubagaimanapun, menteri berkenaan tidak memperincikan bagaimana diskaun tersebut akan disediakan kepada pendaftar terawal tersebut.
Dalam pada masa yang sama, PADU akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 di Putrajaya International Conference Centre. Anda juga boleh mendaftar di laman web Setahun Ekonomi jika berminat untuk menghadiri acara tersebut secara bersemuka. Bagi anda yang tidak berpeluang untuk menghadiri acara tersebut, anda boleh mengikutinya secara langsung di dalam talian.