YouTube sejak kebelakangan ini sering melakukan perubahan-perubahan berkaitan dengan pengiklanan yang dipaparkan kepada pengunjungnya. Kali ini butang untuk iklan yang boleh dilangkau pada penjuru bawah kanan disorokkan.
Android Police melaporkan keadaan tersebut berlaku pada aplikasi mudah alih YouTube. Ia selaras dengan seekbar main semula yang kini hanya menunjukkan tempoh segmen iklan tidak boleh dilangkau berbanding menunjukkan pada keseluruhan iklan.
Laporan yang sama juga menyebut terdapat perbezaan pada kaedah menyorokkan butang langkau yang dilaporkan pada minggu lepas dari pengguna Reddit. Menurutnya, segiempat tepat berwarna hitam digunakan untuk menyorokkan butang langkau iklan sebaik sahaja ia boleh dilangkau. Ketepatan dakwaan tersebut bagaimanapun sukar disahkan hanya daripada tangkapan layar tersebut sahaja semata-mata.
Memandangkan YouTube masih tidak menyatakan tentang perkara tersebut secara rasmi, ia mungkin sebahagian daripada proses pengujian sebelum pelaksanaannya. Dijangkakan akan terdapat sesetengah pengguna yang menemukan keadaan tersebut dalam masa yang terdekat ini.