Utama Android Redmi Xiaomi melancarkan Redmi 13 di Malaysia; Boleh didapati di pasaran bermula 14...

Xiaomi melancarkan Redmi 13 di Malaysia; Boleh didapati di pasaran bermula 14 Jun pada Harga RM699

76
0

Redmi, sub-jenama di bawah Xiaomi pada hari ini telah mengumumkan telefon pintar terkininya Redmi 13 ke pasaran Malaysia. Ia merupakan telefon pintar peringkat pemula menggunakan pemprosesan MediaTek yang menampilkan dwi-kamera dengan kamera utama 108MP.

Dari segi spesifikasinya, Redmi 13 menampilkan paparan 6.79-inci beresolusi 2460 x 1080 piksel, dengan kadar penyegaran semula 90Hz, kecerahan puncak 550 nits dan perlindungan dari Corning Gorilla Glass. Telefon pintar ini juga didatangkan dengan pengimbas cap jari pada sebelah sisinya, sebuah pembesar suara, bicu audio 3.5mm dan penarafan kerintangan air dan debu IP53.

Menguasakannya, sebuah pemprosesan MediaTek Helio G91-Ultra yang bergandingan bersama-sama RAM 8GB dan storan 256GB. Telefon pintar yang mempunyai bateri berkapasiti 5,030mAh dengan sokongan pengecasan 33W ini dikatakan mampu dicaskan sehingga 100% dalam tempoh 62 minit. Selain itu, ia juga mempunyai sokongan rangkaian 4G, dwi-jalur Wi-Fi, Bluetooth 5.4, dan NFC.

Untuk pengimejan, Redmi 13 didatangkan dengan dwi-kamera di belakangnya dengan kamera utama 108MP dan kamera makro 2MP. Di hadapannya pula terdapat kamera 13MP yang ditempatkan pada bahagian berpenebuk lubangnya.

Redmi 13 dijadualkan akan mula memasuki pasaran tempatan pada 14 Jun 2024 berharga RM699 dengan empat pilihan warna Midnight Black, Sandy Gold, Pearl Pink, dan Ocean Blue. Anda yang berminat boleh mendapatkannya melalui laman web rasmi Xiaomi, kedai dalam talian rasmi di Shopee dan Lazada, serta wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.