Xiaomi telah melancarkan telefon pintar boleh lipat berbentuk cengkerang, Mix Flip pada tahun lepas. Kini, terdapat ura-ura yang mengatakan kesinambungan daripada model tersebut Mix Flip 2 akan dilancarkan di China pada Jun ini dan peringkat global menyusul tidak lama selepas itu.
Berdasarkan perkongsian di Weibo, Xiaomi Mix Flip 2 akan dimuatkan dengan pemprosesan Snapdragon 8 Elite. Satu lagi laporan dari Gizmochina menyatakan telefon ini akan mempunyai paparan OLED boleh lipat 6.85-inci dengan resolusi 1.5K dan kadar penyegaran semula 120Hz, serta berketebalan 7.6mm apabila dibuka lipatannya.
Xiaomi Mix Flip 2 dilaporkan telah menerima persijilan 3C di China dan mungkin dikuasakan oleh bateri 5,100mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 67W, dan nirwayar 50W. Dari segi fotografinya, ia dikatakan akan mempunyai kamera utama 50MP dengan OIS, bersama-sama ultra lebar 50MP. Selain itu, telefon pintar ini juga dijangka mempunyai pemancar infra-merah, sokongan NFC, pengimbas cap jari terbina dalam paparan dan penarafan IPX8.
Menariknya, Mix Flip 2 mungkin akan menjadi satu-satunya telefon pintar boleh lipat keluaran Xiaomi pada tahun ini. Ia dijangka akan dilancarkan dalam tempoh yang hampir sama dengan Redmi K80 Ultra pada Jun ini dan akan menemui pengguna global sekitar Julai.